Lelaki dipenjara palsukan dokumen vaksinasi COVID-19 untuk makan di restoran
Seorang lelaki berusia 30 tahun yang memalsukan surat doktor untuk menunjukkan dia sudah lengkap divaksin bagi COVID-19, hari ini (29 Sep) dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu.

(Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang memalsukan surat doktor untuk menunjukkan dia sudah lengkap divaksin bagi COVID-19, hari ini (29 Sep) dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu.
Zhang Shaopeng didapati bersalah memalsukan dokumen tersebut, yang digunakannya untuk makan di sebuah restoran Jepun di pusat beli belah Orchard Central awal bulan ini.
Peraturan COVID-19 pada masa itu membenarkan kumpulan sehingga lima orang yang sudah lengkap divaksin untuk makan di luar.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Zhang bersama dua rakan kerjanya yang semuanya merupakan warga China, dijadual menghadiri sebuah pameran di Amerika Syarikat (AS) pada 21 September atas urusan kerja.
Bagaimanapun, sebagai warga asing yang berada di China kurang dua minggu sebelum itu, mereka tidak dibenarkan memasuki AS. Tiga individu itu merancang untuk melancong ke Singapura selama lebih dua minggu sebelum berangkat ke AS.
Pada 25 Ogos, rakan-rakan kerja Zhang - seorang lelaki 32 tahun dan wanita 25 tahun - mengunjungi sebuah klinik Raffles Medical untuk mengesahkan sijil vaksinasi COVID-19 mereka. Mereka menjalani ujian serologi dan menerima memorandum doktor yang mengesahkan status vaksinasi mereka.
Pada 28 Ogos, Zhang diberitahu rakan-rakan kerjanya bahawa dia memerlukan dokumen yang membuktikan dia sudah divaksin sepenuhnya untuk makan di restoran.
Keesokan harinya, tertuduh meminta rakan kerja lelakinya untuk kirimkan gambar surat doktornya dari Raffles Medical, yang kemudian disesuaikan oleh tertuduh menggunakan sebuah aplikasi mudah alih untuk mengubah nama yang tertera pada memorandum itu kepada namanya sendiri.
Pada 1 September, Zhang mempelawa untuk belanja dua rakan kerjanya di cawangan Tanuki Raw di Orchard Central.
Seorang penyelia restoran meminta tiga individu tersebut untuk menunjukkan bukti status vaksinasi mereka di pintu masuk restoran.
Rakan wanita tertuduh menunjukkan surat doktornya manakala rakan lelakinya menunjukkan gambar dokumen itu.
Tertuduh pula menunjukkan gambar sijil vaksinasi yang dikeluarkan Hospital Jagaan Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak Wilayah Tonglu di China.
Disebabkan sijil tersebut ditulis dalam huruf Cina, penyelia restoran meminta dokumen dalam bahasa Inggeris yang diiktiraf pemerintah Singapura.
Zhang kemudian menunjukkan penyelia tersebut gambar memorandum yang dipalsukan dalam telefon bimbitnya, agar dapat "mempengaruhnya dengan cara menipu" untuk membenarkannya masuk ke dalam restoran, kata Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Chong.
Penyelia itu memetik gambar memo dalam telefon bimbit Zhang serta memo rakan lelakinya.
Gambar-gambar itu dihantar ke pengurus restoran yang perasan bahawa nombor pengenalan di kedua-dua dokumen dalam gambar adalah sama.
Tiga individu itu kemudian diminta keluar dari restoran.
Apabila pekerja restoran bertanya Zhang tentang dokumen palsu itu, tertuduh berkata bahawa "ejen mereka di China menyediakan semuanya untuk mereka termasuk hotel dan sijil."
Pengurus restoran itu membuat aduan polis terhadap Zhang dan rakan-rakan kerjanya pada hari yang sama.
Walaupun Zhang memadamkan semua salinan dokumen palsu itu serta gambar asal daripada telefon bimbitnya, satu salinan surat doktor itu dijumpai dalam akaun penyimpanan iCloud tertuduh.
Raffles Medical pada 2 September mengesahkan tertuduh tidak mengunjungi klinik dan Zhang ditangkap atas kesalahan pemalsuan pada 14 September.
Pihak pendakwa menuntut hukuman penjara selama tiga hingga empat minggu, menyifatkan pemalsuan itu sebagai sengaja dan bertujuan memperdayakan kakitangan restoran.
Bagi kesalahan melakukan pemalsuan, Zhang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga empat tahun atau didenda, atau kedua-dua sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.