Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara miliki bahan pornografi kanak-kanak daripada Telegram

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang "ingin tahu" tentang pornografi kanak-kanak mencarinya di laman tertutup atau 'dark web' dan kemudian menyertai kumpulan Telegram di mana bahan lucah termasuk bahan penderaan kanak-kanak dikongsi.

Dia kemudiannya dijumpai dengan dua gambar dan enam video lucah kanak-kanak yang memaparkan kanak-kanak seawal usia enam tahun, selain lagi 119 video lucah.

Randy Rosigit, 28 tahun dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Isnin (9 Jan).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan lucah, dengan lagi dua tuduhan diambil kira.

Mahkamah mendengar bahawa Randy, seorang warga Indonesia dan penduduk tetap Singapura, semakin "ingin tahu" tentang pornografi kanak-kanak pada tahun 2020.

Dia mencarinya di laman tertutup pada 7 Mei 2020 dan memuat turun pelayar internet yang menyembunyikan trafik laman penggunanya.

Dia menggunakan pelayar internet itu untuk mencari laman yang mengandungi bahan dera kanak-kanak. Dia menggunakan Bitcoin untuk menggunakan satu laman yang dijumpai namun tidak mendapat butiran untuk masuk.

Sekitar Jun 2021, Randy menyertai satu kumpulan sembang Telegram. Anggota kumpulan itu berkongsi pornografi dan bahan dera kanak-kanak.

Walaupun mengetahui anggota kumpulan itu sering berkongsi bahan sedemikian, Randy tetap berbual dan memuat turun beberapa bahan daripada kumpulan tersebut.

Polis menyerbu rumah Randy di Upper Serangoon View pada 22 Oktober 2021 selepas menerima maklumat mengenainya.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara antara tiga dengan empat bulan untuk Randy.

Peguam S S Dhillon sebaliknya meminta penjara empat minggu. Beliau berkata perniagaan pelanggannya terjejas teruk pada April 2020 apabila wabak COVID-19 tercetus.

Selain itu, dia tidak dapat terbang pulang untuk bersama ibu bapanya di Jakarta disebabkan sekatan COVID-19 malah tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada neneknya apabila neneknya meninggal dunia.

Hakim berkata beliau tidak yakin bahawa wabak atau sekatan COVID-19 adalah faktor utama yang menyumbang kepada tingkah laku Randy. Beliau kemudian membenarkan Randy menangguhkan hukumannya.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan