Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara langgar pekerja penghantaran yang cuba ambil gambar keretanya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila seorang pemandu kereta yang meletakkan kenderaannya di tepi jalan tidak mengendahkan permintaannya untuk bergerak ke depan, seorang penunggang motosikal mengeluarkan telefon untuk mengambil gambar kenderaan tersebut.

Bimbang dia akan dikenakan saman trafik, pemandu itu menggerakkan kenderaannya ke depan, sekali gus melanggar penunggang motosikal itu dan menyebabkan dia terjatuh dan patah pergelangan tangannya.

Kong Tong Ngok, 64, dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan dilarang memandu selama 18 bulan pada Khamis (27 Jan) atas tindakannya itu.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan serius kepada penunggang motosikal itu dengan melakukan perbuatan terburu-buru yang membahayakan nyawa manusia.

Mahkamah diberitahu bahawa Kong bekerja sebagai penghantar makanan semasa kejadian itu pada 9 Jun 2020.

Dia sedang menunggu di dalam keretanya untuk mengambil pesanan makanan di Jalan Kadayanallur di Tanjong Pagar apabila mangsa tiba dengan motosikalnya.

Mangsa yang juga seorang penghantar makanan berusia 58 tahun, terperasan pada kira-kira jam 11.55 pagi bahawa jalan di hadapannya sesak dengan lalu lintas dan ia berpunca daripada beberapa kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Di lorong seberang pula tidak sesak dan hanya terdapat kereta Kong. Mangsa turun dari motosikalnya dan menghampiri Kong, dengan tujuan memintanya bergerak ke depan dan tidak menghalang jalan.

Kong tidak menurunkan tingkapnya untuk bercakap dengan mangsa lelaki itu. Mangsa itu memberi isyarat kepada Kong untuk bergerak ke depan tetapi Kong terus tidak mengendahkannya.

Mangsa kemudian berjalan ke depan kereta Kong dan mengeluarkan telefonnya untuk mengambil gambar kenderaan tersebut. Sebelum beliau sempat berbuat demikian, Kong memandu keretanya ke depan, menurut pendakwa raya.

Mangsa cuba menahan kereta itu daripada melanggarnya dengan tangannya tetapi Kong terus memandu ke arahnya.

Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran menyaksikan kejadian itu dan menghubungi ambulans dan polis.

Mangsa dibawa ke hospital dan pergelangan tangannya didapati patah. Dia terpaksa memakai tuap dan diberi cuti hospital selama 14 hari.

Pendakwa raya itu meminta Kong dikenakan hukuman penjara tiga hingga empat minggu dan dilarang memandu semua kelas kenderaan selama 18 bulan.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan serius dengan melakukan perbuatan terburu-buru yang membahayakan nyawa manusia, Kong boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda tidak lebih S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan