Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara lagi 10 bulan gara-gara gigit hingga putus kuping telinga banduan lain

Seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah menggigit sebahagian daripada telinga seorang banduan lain dalam satu pertikaian melibatkan serbuk kopi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara lagi 10 bulan gara-gara gigit hingga putus kuping telinga banduan lain

Bahagian dalam Penjara Changi. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 06 Aug 2021 01:33PM Dikemas Kini : 06 Aug 2021 01:35PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah menggigit sebahagian daripada telinga seorang banduan lain dalam satu pertikaian melibatkan serbuk kopi.

Teo Chye Lye, 56 tahun, hari ini (6 Ogos) dijatuhi hukuman penjara lagi 10 bulan atas tindakannya itu. Dia akan menjalani hukuman tambahan itu selepas hukuman yang dijalaninya sekarang ini berakhir.

Mahkamah diberitahu bahawa Teo bersama mangsanya, Lim Lee Yat, 53 tahun berada di bengkel di Tingat 5 kluster B3 Penjara Changi pada 15 Disember 2020.

Mereka pada ketika itu sedang membungkus uncang kopi di bengkel tersebut di bawah pemantauan Penjara Changi apabila Teo menggunakan tangannya untuk menyapu sebahagian daripada serbuk kopi itu ke meja mangsa.

Oleh kerana tindakan itu menyebabkan mangsa harus bekerja lebih dan menyiapkan lebih banyak uncang, kedua-duanya mula bergaduh. Teo memberitahu mangsa supaya jangan berkira dan perbalahan mula memuncak.

Mangsa kemudian menumbuk muka Teo dan Teo bertindak dengan menumbuk mangsa pula. Sewaktu bergelut, Teo menggigit bahagian atas kuping telinga kiri mangsa.

Disebabkan perbuatannya itu, sebahagian kuping telinga kiri mangsa terputus. Tumbukan Teo juga menyebabkan kesan lebam pada mata mangsa.

Seorang pegawai penjara dimaklumkan tentang kejadian itu oleh para banduan lain dan mengarahkan kedua-dua lelaki tersebut untuk berhenti bergaduh. Selepas mereka mematuhi arahannya, pegawai berkenaan meminta sokongan perubatan dan bantuan pegawai lain.

Beliau menemui bahagian telinga yang terputus di lantai dan memberitahu kakitangan perubatan mengenainya.

Mangsa dibawa ke Hospital Besar Changi tetapi telinganya tidak dapat dijahit kembali dan mangsa kehilangan pendengaran di bahagian kuping telinga yang terjejas.

Mangsa diberi amaran keras atas tindakannya sewaktu perbalahan itu, yang menyebabkan muka Teo lebam-lebam.

Teo mengaku bersalah atas kesalahan secara sukarela menyebabkan kecederaan sehingga cedera teruk dan mengakibatkan kecacatan seumur hidup.

Atas kesalahan secara sukarela menyebabkan kecederaan, tanpa berniat menyebabkan kecederaan teruk tetapi membawa kepada kesan sedemikian, Teo boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan