Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara kerana gelapkan lebih S$343,000, palsukan tandatangan pesakit

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara kerana gelapkan lebih S$343,000, palsukan tandatangan pesakit

(Gambar: Facebook/ Gleneagles Hospital, Singapore)

SINGAPURA: Seorang pengurus di Hospital Gleneagles menyeleweng lebih S$343,000 daripada majikannya dengan meminda bil para pesakit dan menggelapkan wang tunai yang dipulangkan serta memalsukan tandatangan beberapa pesakit untuk mengelak diri daripada dikesan.

Thomas Ng Eng How, 48, pada Selasa (31 Mei) dihukum penjara tiga tahun dan sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah oleh seorang pekerja dan lapan pertuduhan melakukan pemalsuan.

30 tuduhan turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Kesalahan-kesalahan itu, yang dilakukan dari 2016 hingga 2018, dikesan melalui audit yang menyeluruh yang dijalankan ke atas Hospital Gleneagles dan kemudahan lain di bawah Parkway Hospitals Singapore.

Juru audit mendapati sejumlah besar bayaran balik tunai dikeluarkan oleh Hospital Gleneagles ekoran tindakan Ng itu.

Hospital itu membuat laporan polis pada Januari 2018.

Sebagai pengurus pejabat, Ng dapat meminda bil pesakit dalam sistem komputer hospital, walaupun dia dikehendaki perlu mendapatkan kebenaran pihak atasannya terlebih dahulu.

Sepanjang tempoh dia bekerja di situ, Ng menyedari bahawa pihak hospital mempunyai amalan menawarkan potongan harga atau pengurangan bil pesakit dengan menurunkan taraf katil hospital mereka dari semasa ke semasa.

Diskaun dan pengurangan itu dilaksanakan dengan meminda bil pesakit. Ini boleh dilakukan meskipun bil sudah dilunaskan sepenuhnya dan pesakit dibenarkan pulang. Pesakit kemudiannya akan diberikan bayaran balik tunai.

Ng menganggapnya sebagai peluang untuk menyalahgunakan wang tunai milik hospital.

Setiap bulan, dia akan mengenal pasti bil-bil pesakit asing, yang tidak dilindungi mana-mana insurans, dan berjumlah lebih daripada S$30,000.

Dia memilih pesakit-pesakit itu kerana dia percaya bahawa mereka tidak mungkin kembali ke Hospital Gleneagles sekerap pesakit tempatan, dan besar kemungkinan mereka tidak sedar bayaran balik wang tunai yang dibuat atas nama mereka.

Selepas para pesakit tersebut membuat bayaran penuh kepada hospital dan dibenarkan keluar, Ng akan meminda bil mereka untuk mengurangkan jumlah akhir atau mengarahkan kakitangan bawahannya untuk berbuat demikian. Dia kemudian memproses bayaran balik tunai itu dan mengambil wang tersebut.

Dalam beberapa kes, Ng cuba mengelakkan diri daripada dikesan dengan memalsukan tandatangan pesakit yang terjejas di slip bayaran balik wang tunai yang dikeluarkan pihak hospital, untuk memberi gambaran bahawa mereka maklum sudah menerima pembayaran itu.

Dia memalsukan tandatangan sebanyak 36 kali dari Mac 2017 hingga Januari 2018, dengan setiap satu daripadanya melebihi S$26,000.

Ng menggunakan wang itu untuk membiayai perbelanjaan peribadinya, termasuk berjudi dan membeli kereta.

Dia ditahan pada 12 Jan 2018.

Kira-kira S$10,700 ditemui pada masa itu, yang dikembalikan kepada Hospital Gleneagles.

Ng kemudian mengembalikan S$48,000 kepada hospital itu pada Mac 2018.

Pihak hospital memberitahu Mediacorp Ng dipecat dengan serta-merta oleh Hospital Gleneagles selepas ia mendapat bukti yang cukup tentang kesalahannya dan melaporkannya kepada polis.

"Kami meletakkan kepercayaan kepada semua pekerja kami untuk melaksanakan peranan mereka dengan integriti tertinggi. Malangnya kepercayaan itu dipecahkan," kata Dr Melvin Heng, Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu.

Ng boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda kerana melakukan jenayah pecah amanah sebagai pekerja.

Mereka yang didapati bersalah memalsukan dokumen yang mengakui pembayaran sudah dibuat boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan