Lelaki dipenjara kerana fitnah kakak sumbang mahram
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu semalam (4 Jan) kerana membuat aduan palsu kepada polis, termasuk mendakwa kakaknya melakukan hubungan seks bersamanya ketika dia berusia 16 tahun.
(Gambar hiasan: AFP)
SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu semalam (4 Jan) kerana membuat aduan palsu kepada polis, termasuk mendakwa kakaknya melakukan hubungan seks bersamanya ketika dia berusia 16 tahun.
Lelaki 26 tahun itu, juga berbohong kepada polis bahawa kakaknya mengugut dia dan tunangnya dengan menggunakan pisau.
Tiga tuduhan serupa masih dalam pertimbangan sebelum hukuman dijatuhkan ke atasnya.
Lelaki tersebut tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi kakaknya. Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa kakaknya berusia 28 tahun.
Menurut dokumen mahkamah, pada sekitar 4.00 pagi pada 31 Mar 2016, lelaki tersebut dengan ditemani tunangnya membuat aduan polis. Dia mendakwa kakaknya mengancamnya bersama tunangnya dengan menggunakan pisau pada hari sebelum itu.
Lelaki itu mendakwa kakaknya mengambil pisau dari dapur dan berkata kepadanya bersama tunangnya bahawa beliau mahu mereka keluar dan tidak kembali. Kakaknya itu juga didakwa berkata akan "membunuh dan menikam" mereka. Lelaki itu memberitahu polis dia dan tunangnya meninggalkan tempat itu kerana takutkan keselamatan mereka terancam.
Dia mendakwa kakaknya, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng, marah dengan tunangnya yang datang ke rumah untuk mengambil barang-barangnya.
Namun, siasatan menunjukkan tunang lelaki itu tidak mengunjungi rumah tersebut pada 30 Mac dan kakaknya ternyata tidak membuat sebarang ancaman. Lelaki itu kemudian mengaku bahawa dia membuat aduan palsu kerana kakaknya tidak merestui hubungannya bersama tunangnya. Dia juga mengaku bersepakat dengan tunangnya untuk memfitnah kakaknya.
Menurut dokumen mahkamah, ibu bapa lelaki tersebut pernah meminta tunang anaknya itu untuk tidak tinggal di rumah tersebut.
Aduan palsu kedua dibuat empat jam selepas laporan pertama. Tunangnya menelefon 999 dan berkata bahawa bekas kekasih lelaki tersebut menimbulkan masalah di rumah lelaki itu.
Apabila polis datang untuk menjalankan siasatan, lelaki itu memberitahu pihak polis bahawa kakaknya melakukan hubungan seks dengannya ketika dia berusia 16 tahun.
Pihak pendakwa berkata polis kemudiannya menyiasat kakak lelaki tersebut atas tuduhan sumbang mahram - kesalahan di bawah Seksyen 376G Kanun Keseksaan. Kakaknya itu disoal siasat sebanyak empat kali. Lelaki itu hanya mengaku membuat aduan palsu pada Oktober 2016, enam bulan selepas membuat aduan.
Timbalan Pendakwa Raya Claire Poh berkata bahawa defendan memberi maklumat palsu terhadap mangsa supaya polis menjalankan siasatan. Ini "menyusahkan mangsa".
Peguam lelaki itu, Michael Chang, mengatakan bahawa laporan Institut Kesihatan Mental (IMH) menunjukkan bahawa lelaki berkenaan mempunyai kurang daya intelek ringan dan mudah terpengaruh oleh orang lain.
Hakim Eddy Tham berkata bahawa tuduhannya "serius" dan "boleh menyebabkan mangsa menjadi malu", namun beliau menimbangkan laporan IMH ketika menjatuhi hukuman.
Atas kesalahan memberi maklumat palsu kepada pegawai polis, lelaki itu boleh dipenjara sehingga satu tahun dan/atau didenda sehingga S$5,000 bagi setiap tuduhan.
Kes terhadap tunang kepada lelaki itu masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.