Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara kerana curi baucar Belanjawan 2020 dari peti surat jiran tidak tertutup rapi

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari pada Isnin (8 Feb) kerana mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 milik jirannya setelah menyedari peti suratnya terturup tidak ditutup dengan betul.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara kerana curi baucar Belanjawan 2020 dari peti surat jiran tidak tertutup rapi

Baucar barangan dapur Belanjawan 2020. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 08 Feb 2021 04:56PM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 05:02PM

SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari pada Isnin (8 Feb) kerana mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 milik jirannya setelah menyedari peti suratnya terturup tidak ditutup dengan betul.

Zamri Mohamed Ali, 43 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan mencuri 30 baucar bernilai S$10 setiap satu, yang bertujuan untuk mengimbangi kos perbelanjaan bagi warga Singapura yang memerlukan semasa pandemik COVID-19.

Pengagihan baucar tersebut diumumkan semasa Belanjawan 2020 bagi membantu penduduk dewasa Singapura memerlukan yang tinggal di flat 1 dan 2 bilik HDB dan yang tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Mahkamah diberitahu bahawa Zamri tinggal bersama temanitanya yang berusia 37 tahun, Farahdillah Ibrahim, di sebuah flat di Aljunied Crescent.

Farahdillah merupakan tertuduh bersama kes tersebut.

Farahdillah dan Zamri masing-masing menerima baucar barangan dapur yang dikirimkan ke peti surat Zamri sebelum awal Oktober tahun lalu.

Pada sekitar 7.00 malam, 9 Oktober tahun lalu, Zamri memeriksa peti suratnya di kolong blok kerana sedang menunggu satu penghantaran, tetapi tidak menemui apa-apa.

Semasa menutup peti suratnya, dia ternampak peti surat jirannya tidak ditutup dengan betul.

Dia lalu membuka peti surat itu dan membelek-belek surat di dalamnya, dengan harapan dapat menemui beberapa baucar barangan dapur kerana dia tahu penduduk di blok berkenaan kemungkinan akan menerimanya.

Dia melihat dua sampul surat berwarna putih dengan tulisan "On Government Service" dan tahu bahawa sampul-sampul itu mengandungi baucar kerana ia serupa dengan baucar yang diterimanya.

Zamri mengambil dua sampul surat dan ternampak ada nombor siri pada baucar berkenaan. Sedar bahawa dia akan ditangkap apabila menggunakan baucar tersebut, Zamri memutuskan untuk menggunakan baucarnya dahulu untuk membeli barangan keperluan rumah.

Temanitanya menggunakan enam baucar yang dicuri di satu pasar raya pada 12 Oktober 2020, dan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dia pulang ke rumah Zamri.

Mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya, setelah mendapat tahu bahawa baucar beliau, yang belum diterimanya, sudah digunakan.

Ketika Farahdillah kembali ke pasar raya yang sama dan cuba menggunakan dua lagi baucar, baucar-baucar itu ditolak. Dia kemudian ditangkap bersama Zamri, dan 24 baucar ditemui dalam flat Zamri.

Zamri merupakan pesalah terbaru dihukum penjara berhubung pencurian baucar yang dikeluarkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020.

Seorang lelaki dipenjara empat minggu bulan lalu atas jenayah serupa - dia menggunakan baucar yang dicuri untuk membeli barangan dapur dan membakar bakinya sebagai 'pemberian' kepada mendiang isterinya.

Seorang wanita pula mengaku bulan lalu menggunakan alat dibuat sendiri daripada pena, mata kail dan pita melekat untuk mencuri baucar serupa dari peti-peti surat. Hukuman ke atasnya akan ditentukan hujung bulan ini.

Atas kesalahan mencuri, Zamri boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya. Mediacorp telah menghubungi Pejabat Peguam Negara mengenai status kes Farahdillah.  

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita