Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara kerana bakar flat gara-gara nenek enggan buka pintu

Berang kerana neneknya tidak menjawab panggilannya untuk membuka pagar pintu rumah, seorang lelaki membakar sekeping kadbod dan menyelitkannya pada pintu rumah flat tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara kerana bakar flat gara-gara nenek enggan buka pintu

Petikan skrin video kebakaran yang dihantar tertuduh kepada bapa saudaranya (kiri), dan keadaan selepas kebakaran. (Gambar: Dokumen mahkamah)

Diterbitkan : 04 Jul 2025 06:14PM Dikemas Kini : 04 Jul 2025 07:12PM
SINGAPURA: Berang kerana neneknya tidak menjawab panggilannya untuk membuka pagar pintu rumah, seorang lelaki membakar sekeping kadbod dan menyelitkannya pada pintu rumah flat tersebut.

Neneknya pula hanya menyedari kebakaran itu selepas diberitahu jiran dan berjaya memadam kebakaran itu dengan menyiram air ke arah api tersebut.

Lenard Tan Yong Jia, 27, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Jumaat (4 Jul) atas tuduhan melakukan perbuatan nakal yang menyebabkan kebakaran.

Satu lagi tuduhan turut dipertimbangkan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Tan adalah seorang pelajar semasa kejadian itu berlaku dan tinggal di sebuah flat bersama bapa tirinya dan neneknya.

Pada 18 April, dia pulang ke rumah dan mendapati bahawa pintu kayu boleh dibuka, namun pagarnya dikunci.

Dia mengetuk pintu, tetapi tiada orang yang membukanya.

Dia kemudian menelefon neneknya kira-kira enam kali, tetapi wanita itu enggan menjawab panggilan telefon itu.

Ini kerana neneknya takut dengan Tan, seseorang yang beliau anggap seorang penagih dadah.

Mereka juga dilaporkan pernah bertelingkah sebelum ini, namun butirannya tidak didedahkan.

Tan berasa marah kerana dia tahu neneknya berada di rumah.

Dia kemudian menggunakan pemetik api untuk membakar sekeping kadbod di luar rumah dan meletakkannya antara pagar dan pintu kayu.

Dia kemudian merakam video kebakaran itu dan menghantarnya kepada bapa saudaranya, bersama rakaman suara dalam bahasa Mandarin yang berbunyi: "kau nak 'main-main' dengan aku, aku bakar dan biar kau tengok."

Tan kemudian meninggalkan tempat kejadian ketika api masih menyala.

Mangsa mendengar ketukan sejurus selepas itu, serta jiran yang memanggilnya dari luar.

Dia kemudian melihat kebakaran tersebut dan segera memadamkannya dengan air.

Ibu saudara Tan menghubungi polis dan memberitahu bahawa anak saudaranya "sudah naik gila" dan membakar rumah ibunya.

Kebakaran itu menyebabkan kerosakan pada pintu, jubin lantai, pelapik dinding dan cat di bahagian laluan masuk.

Kos pembaikan dianggarkan sekitar S$7,000, namun jumlah sebenar belum dapat disahkan kerana bapa tiri Tan masih belum memutuskan sama ada untuk melakukan pembaikan.

Tan ditemui pada 18 April bersama dua pisau lipat dan pemetik api yang digunakan untuk memulakan kebakaran.

Dia kemudian diberkas dan direman.

Timbalan Pendakwa Raya Jotham Tay memohon hukuman penjara lima hingga enam bulan terhadap Tan, sambil berkata bahawa Tan tahu neneknya yang berusia 67 tahun berada di rumah ketika dia menyalakan api.

"Malah, dia melakukannya dengan pintu yang terbuka dan menyelitkan kotak kadbod di pintu, membolehkan api dan asap merebak ke dalam unit. Tindakannya itu boleh membahayakan kesihatan atau nyawa mangsa," kata Encik Tay.

Atas kesalahan melakukan perbuatan nakal dengan menyebabkan kebakaran, Tan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita