Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, kelar bekas rakan niaga & serang 2 lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, kelar bekas rakan niaga & serang 2 lelaki

Gambar: TODAY/ Ili Nadhirah Mansor

  • SINGAPURA: Dia sudah diberkas kerana menyerang dua lelaki, salah seorang daripadanya mengalami keretakan pada bahagian tengkorak dan cedera ringan pada otak, apabila dia mengelar bekas rakan perniagaannya dengan pisau.

    Perbuatan Achmad Zachram Zainal menyebabkan trauma terhadap teman wanita salah seorang mangsanya sehingga beliau berhenti bekerja dan tidak lagi menonton filem ganas kerana akan teringatkan peristiwa ngeri itu.

    Pada Selasa (6 Sep), Achmad dihukum penjara dua tahun dan tiga bulan serta dikenakan tiga sebatan rotan.

    Rakyat Singapura yang berusia 29 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan sengaja mencederakan, menggunakan senjata berbahaya dan menyebabkan cedera parah.

    Mahkamah diberitahu bahawa dia menyasarkan dua lelaki yang berjalan di Stamford Road pada 1 Disember 2019. Kedua-dua lelaki itu tidak dikenalinya.

    Achmad, yang sedang duduk di tonggak jalan, kemudian bercakap dengan kumpulan mangsa sebelum beberapa kali menumbuk seorang daripada mereka pada bahagian muka dan kepala.

    Pesalah kemudian menolak mangsa kedua dan menumbuk matanya hingga cermin mata mangsa pecah dan mencederakan mukanya.

    Sewaktu mangsa pertama melarikan diri, pesalah mengejarnya dan menjulurkan kakinya hingga mangsa tersandung dan terjatuh. Pesalah cuba memijak kepala mangsa tetapi mangsa berjaya mengelak dan berdiri dengan pantas.

    Pesalah terus menumbuk mangsa hingga beliau terjatuh ke lantai dan tidak sedarkan diri. Dia kemudian memijak kepala mangsa.

    Teman wanita mangsa pertama menelefon polis dan kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

    Mangsa pertama mengalami keretakan pada tengkorak, kecederaan otak dan saluran darah yang terputus pada bahagian matanya. Beliau diberi cuti sakit selama 51 hari.

    Mahkamah juga diberitahu bahawa selepas serangan tersebut, teman wanitanya dilaporkan sering menangis dan ini menjejas kerjanya sebagai pengendali telefon sebuah bank. Beliau kemudian terpaksa berhenti kerja dan mencari kerja lain.

    Beliau juga tidak lagi menonton filem ganas terutamanya yang mempunyai adegan tumbuk-menumbuk.

    Mangsa kedua diberikan cuti sakit selama tiga hari selepas mengalami beberapa luka dan keretakan pada wajahnya. Beliau membayar yuran hospital sebanyak S$655 dan membeli cermin mata baru yang bernilai S$200.

    Achmad diberkas seminggu selepas kejadian tersebut dan dibebaskan dengan ikat jamin.

    Namun, dia diberkas sekali lagi selepas gagal melaporkan diri bagi hal ikat jamin dan direman.

    Apabila dibebaskan dengan ikat jamin buat kali kedua, dia menyerang hendap bekas rakan perniagaannya. Mereka tidak bertegur siapa disebabkan satu pertikaian.

    Rakan perniagaan itu, seorang warga Malaysia yang berumur 28 tahun, sedang menunggu kawan mereka untuk menghantar barang kepadanya pada 11 Januari 2021.

    Apabila mangsa menghampiri kereta di jalan berdekatan rumah kondominiumnya, pesalah keluar dari kereta tersebut dan mengelar tangan kanan mangsa dengan pisau, menyebabkan luka sepanjang 20 sentimeter.

    Mangsa kemudian melarikan diri. Pesalah mengejarnya tetapi menyerah apabila mangsa menyeberangi Kim Seng Road.

    Sejurus kemudian, mangsa menerima panggilan daripada kawan mereka yang menyampaikan mesej dari Achmad: "Beritahu dia yang dia harus membayar bakinya, jika tidak saya akan mengelarnya lagi."

    Mangsa dibawa ke SGH dan diberikan 34 hari cuti sakit. Mahkamah diberitahu bahawa beliau masih berhutang S$7,600 dengan SGH kerana belum membayar yuran perubatan.

    Bagi kesalahan paling serius, iaitu menyebabkan kecedaraan parah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.
Sumber : Today/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan