Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara gara-gara bayar doktor untuk tukar vaksin COVID-19 kepada suntikan air garam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Disebabkan ingin menikmati manfaat divaksin tanpa disuntik vaksin COVID-19, seorang lelaki membayar S$6,000 kepada seorang doktor yang ada kaitan dengan kumpulan antivaksin Healing the Divide.

Sebagai pertukaran, dia dan isterinya yang tidak mengesyaki apa-apa, menerima dua dos suntikan yang dicatat dalam Pendaftaran Imunisasi Kebangsaan Singapura sebagai suntikan COVID-19 Sinopharm.

Pada hakikatnya, ia hanya mengandungi air garam.

Warga negara Australia, David Christopher Newton, 44 tahun dihukum penjara 16 minggu pada Khamis (27 Apr).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dalam konspirasi jenayah bersama Dr Jipson Quah dan pembantunya Thomas Chua untuk menipu Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bahawa dia divaksin sepenuhnya, walaupun sebenarnya dia tidak menerima vaksin COVID-19.

Tuduhan kedua yang melibatkan isterinya dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Newton menyertai kumpulan Healing the Divide menerusi aplikasi Telegram pada Disember 2021 dan mendapatkan nombor telefon Chua melalui kumpulan tersebut.

KONSPIRASI

Newton memberitahu Chua bahawa dia mempunyai tawaran pekerjaan di Australia namun agak sukar untuk memasuki negara itu kerana dia belum divaksin. Dia bertanya jika Chua boleh dapatkan pengesahan sebagai sudah menerima vaksin tanpa disuntik.

Dia juga ingin isterinya disahkan sebagai tidak layak dari segi perubatan untuk menerima sebarang vaksin COVID-19.

Chua berkata bahawa dia akan berbincang dengan Quah dan kemudian mengaturkan Newton dan isterinya untuk mendapatkan vaksin palsu di Klinik Perubatan Mayfair di Yishun dengan bayaran S$6,000.

Newton bersetuju dan pasangan tersebut diberi suntikan air garam, walapun isterinya menganggapnya sebagai vaksin Sinopharm.

Newton membayar Chua S$6,000 dalam tiga bahagian, sebelum, dan pada setiap kali dia menerima suntikan. Menurut pendakwa, Chua dan Quah membahagikan bayaran itu antara mereka berdua.

Quah mencatatkan di dalam sistem catatan perubatan kliniknya bahawa Newton dan isterinya menerima vaksin Sinopharm dan catatan itu diserahkan kepada Pendaftaran Imunisasi Kebangsaan.

Kementerian Kesihatan (MOH) kemudian memaklumkan kepada polis tentang peranan Quah untuk membenarkan pesakitnya disahkan secara palsu sebagai sudah menerima vaksin dengan vaksin Sinopharm.

Siasatan polis mendedahkan bahawa Newton merupakan antara 17 pesakit yang menerima suntikan air garam daripada Quah.

Kes Quah dan Chua masih belum selesai.
Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan