Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara gara-gara bakar pintu rumah jiran selepas gaduh tentang tempat sembahyang

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara gara-gara bakar pintu rumah jiran selepas gaduh tentang tempat sembahyang

Tempat untuk melakukan upacara sembahyang Cina. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 13 hari pada Khamis (10 Ogos) kerana membakar flat jirannya selepas bergaduh tentang tempat sembahyang.

Patrick Francis, juga dikenali sebagai Pandian, mengaku bersalah atas satu tuduhan berkelakuan nakal dengan membakar pintu depan rumah mangsa pada 8 Mei 2022.

Mahkamah diberitahu bahawa keluarga tertuduh mengenali keluarga mangsa selama sekitar enam tahun sebelum insiden tersebut.

Ibu tertuduh tinggal di unit lantai satu blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Lorong 5 Toa Payoh, sementara mangsa tinggal di lantai tiga bersama temanitanya.

Beberapa tahun sebelum kejadian pada 2022 itu, temanita mangsa, Tang Yee Peng, 50 tahun, meminta satu ruang kecil di rumah ibu Francis.

Cik Tang mahu menggunakan ruang tersebut untuk dijadikan tempat untuk melakukan upacara sembahyang Cina. Keluarga Francis bersetuju untuk membolehkan Cik Tang menggunakan ruang itu.

Aturan itu diteruskan sehingga Cik Tang terpaksa kembali ke Malaysia apabila pandemik COVID-19 melanda pada 2020.

Walaupun Cik Tang tidak berada di Singapura, keluarga Francis terus menjaga tempat sembahyang kecil itu untuknya.

Pada 7 Mei 2022, Cik Tang kembali ke Singapura selepas sekatan perjalanan ditamatkan.

Beliau menyedari kunci bagi tempat sembahyang itu diganti lalu mempertikaikan tentangnya dengan ibu Francis yang berusia 76 tahun.

Ini membuat Francis marah.

Dia mengetuk pintu flat Cik Tang pada tengah malam 8 Mei, bersama ibunya. Francis juga menjerit-jerit ketika mengetuk pintu depan rumah mangsa.

Cik Tang dan teman lelakinya tidak membuka pintu rumah dan sebaliknya sekadar melihat Francis menerusi lubang intip.

Ibu Francis akhirnya pulang kerana berasa penat. Namun, anak lelakinya itu terus menunggu di depan flat Cik Tang.

Francis berang kerana jirannya itu tidak membuka pintu lalu ke corong sampah, di mana dia mengambil satu botol berwarna coklat yang mempunyai label "kerosene" (minyak tanah). Botol itu masih berisi cecair.

Francis kembali ke flat jirannya di lantai tiga dan menuang cecair daripada botol berkenaan, di depan pintu rumah mangsa.

Dia menggunakan pemetik api untuk menyalakan minyak tanah yang dituang. Kebakaran kemudian tercetus di pintu depan unit terbabit.

Selepas melakukan itu, Francis kembali ke lantai satu dan membuang botol yang diambil.

Seorang lagi jiran di lantai tiga ternampak apa yang dilakukan Francis. Teman lelaki Cik Tang juga menyedari berlaku kebakaran lalu segera menghubungi polis.

Para pegawai tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu dan memadamkan kebakaran dengan pemadam api.

Pegawai bomba turut bergegas ke tempat kejadian dan mereka mendapati bahagian bawah pintu depan rumah dan satu payung, rosak akibat kebakaran tersebut.

Bahagian lain flat yang turut rosak termasuk jubin, tembok dan siling dekat dengan pintu utama.

Francis sudahpun membayar ganti rugi S$1,000 kepada mangsa.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita