Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara, disebat kerana dera secara seksual 2 anak perempuan temanita

Bagi mencabul kehormatan budak bawah umur, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, disebat kerana dera secara seksual 2 anak perempuan temanita

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Nov 2020 06:41PM Dikemas Kini : 09 Nov 2020 06:43PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mendera secara seksual dua anak perempuan temanitanya sepanjang tempoh enam tahun dihukum penjara 17 tahun dan disebat 25 kali di mahkamah hari ini (9 Nov).

Lelaki yang kini berusia 36 tahun itu, mula mendera anak perempuan temanitanya semasa mangsa berusia 10 tahun sebelum beralih perhatian kepada adik mangsa yang berusia lapan tahun.

Adik-beradik itu tidak memberitahu satu sama lain tentang perkara itu dan jenayah terhadap si kakak hanya terbongkar selepas adiknya yang tidak tahan dengan penderaan yang dilalui memberitahu kaunselor di sekolah.

Lelaki itu mengaku bersalah atas dua tuduhan serangan seksual yang teruk dan dua tuduhan mencabul kehormatan budak bawah umur dengan lagi lima tuduhan dipertimbangkan.

Nama semua pihak terlibat tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah bagi melindungi identiti mangsa yang kini berusia 19 dan 14 tahun.

Mangsa pertama berusia 10 hingga 14 tahun sementara adiknya berusia lapan hingga 11 tahun ketika kesalahan itu berlaku.

Mahkamah diberitahu lelaki itu berusia antara 28 hingga 33 tahun semasa melakukan kesalahan dan bekerja sebagai seorang jurukamera bebas.

Dia berkenalan dengan ibu mangsa pada 2010 selepas diperkenalkan melalui rakan mereka.

Dia kemudian tinggal serumah di flat satu bilik temanitanya itu.

Mangsa pertama berusia 10 tahun apabila penderaan itu bermula pada 2012.

Apabila adiknya berusia lapan tahun, lelaki itu mula mengalihkan perhatian dan mendera budak itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Rebecca Wong.

Kedua-dua mangsa tidak memberitahu satu sama tentang penderaan itu dan tidak tahu bagaimana untuk memberitahu orang lain tentang apa yang berlaku.

Bagaimanapun, apabila lelaki itu mendekati mangsa kedua pada 17 September 2017, budak perempuan itu tidak dapat menahan serangan yang dilalui dan memberitahu kaunselor di sekolahnya pada keesokan hari.

Satu aduan polis dibuat dan ibu mangsa dimaklumkan untuk datang ke balai polis.

Lelaki itu berada bersama ibu mangsa apabila panggilan dibuat dan bertegas untuk ikut sama kerana mengesyaki isu tersebut ada kaitan dengannya.

Dia ditangkap di balai polis dan butiran jenayah terhadap si kakak juga terbongkar.

Bagi setiap tuduhan serangan seksual teruk dengan penetrasi terhadap budak bawah umur, lelaki itu boleh dipenjara antara lapan hingga 20 tahun dan disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Bagi mencabul kehormatan budak bawah umur, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman itu. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita