Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, disebat gara-gara cuba bantu rakan beli ganja

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, disebat gara-gara cuba bantu rakan beli ganja

Ganja. (Gambar hiasan: iStock/webphotographeer)

SINGAPURA: Apabila rakan sekolah menengahnya meminta bantuan untuk mendapatkan ganja, lelaki ini bersetuju lalu meminta bantuan seorang kenalan.

Namun kenalannya ditangkap para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) tidak lama selepas membuat bayaran kepada seorang lelaki warga Malaysia di tempat letak kereta sebuah hospital.

Akhirnya, rakyat Singapura, Mohamed Rafi Mohamed Salleh, yang bersetuju membantu rakannya untuk mendapatkan dadah, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tujuh sebatan rotan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, permohonannya untuk mengemukakan rayuan selepas tarikh akhir, hanya diluluskan pada Mei 2023.

Menurut keputusan yang dikeluarkan pada Jumaat (9 Jun), Rafi, 41 tahun, didapati bersalah atas dua tuduhan: Yang pertama, kerana bersubahat dengan Amy Ng Gim Hui untuk mengedar 162.93g ganja, dan yang kedua, atas kesalahan mengambil methamphetamine.

Mahkamah mendengar bahawa Rafi adalah seorang konsultan perniagaan bebas dan bekerja di sebuah bangunan pejabat di Raffles Place.

Rakan sekolah menengahnya, Nur Diana Abdul Rashid - rakyat Singapura berusia 38 tahun - juga bekerja di bangunan yang sama.

Pada 21 Mei 2018, Diana menghubungi Rafi dan bertanya jika dia boleh mendapatkan 100g ganja untuknya. Selepas berunding, mereka bersetuju Diana akan membeli 500g ganja pada harga S$3,500.

Pada keesokan harinya, Rafi menghubungi Ng, seorang wanita Singapura berusia 39 tahun, untuk membantunya mendapatkan ganja.

Ng seterusnya membuat aturan untuk mengambil ganja dari pembekalnya, seorang warga Malaysia berusia 32 tahun bernama Sri Ranjit Kanaseng.

Ng memandu ke Hospital Ng Teng Fong pada 23 Mei 2018, di mana dia bertemu Ranjit di tempat letak kereta. Ranjit memberinya satu bungkusan hitam dan sebagai ganti, dia mendapat sampul berisi S$2,150.

Ng memandu ke tempat lain selepas itu tetapi dia diberkas para pegawai CNB para hari yang sama. Bungkusan hitam tersebut turut dirampas dari kenderaannya.

Pada 2 Jun 2020, para pegawai CNB menyerbu sebuah flat di Bukit Batok dan memberkas Rafi. Ujian kencing mendapati dia positif bagi methamphetamine.

Pihak pendakwa menarik perhatian bahawa Rafi mengatur pembelian dadah dengan teliti, yang mana dirinya tidak berada di tempat urus niaga ganja itu dijalankan.

Sebaliknya, Rafi memastikan dia berada di tempat lain sejauh mungkin. Dia juga cuba menyembunyikan bahan bukti dengan menyelitkan kad SIM di bawah tapak dalam kasutnya ketika diberkas.

Peguam Rafi, Encik Andre Jumabhoy berkata anak guamnya menyesali "tindakan bodoh itu" yang dilakukan demi membantu sahabatnya.

Rafi bagaimanapun, tambah beliau, tidak meraih sebarang keuntungan daripada urus niaga itu.

Encik Jumabhoy turut menyebut tentang perwatakan Rafi yang baik, seperti bagaimana dia aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dengan menaja dan menganjurkan pengagihan makanan buat para penduduk. Rafi juga mempunyai perniagaan menjual tauhu yang menggajikan para pekerja kurang upaya dan bekas banduan.

Menurut Encik Jumabhoy, Rafi juga memberi tuisyen secara sukarela kepada para pelajar dari keluarga muslim berpendapatan rendah dan merupakan seorang wakil Persekutuan Perniagaan Singapura, yang melakukan lawatan ke Iraq dan Iran pada 2013 untuk menjaga hubungan perbankan kedua-dua negara.

Rafi sedang menjalani hukuman penjaranya tetapi dia sudah mengemukakan rayuan agar hukumannya diringankan.

Atas kesalahan bersubahat untuk mengedar dadah, dia boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun, dan disebat antara lima hingga 15 kali.

Atas kesalahan mengambil dadah pula, dia boleh dijatuhi hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan denda sehingga S$20,000.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan