Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara, disebat, didenda kerana cabul remaja 13 tahun, curi barang Adidas ketika bertugas

Seorang bekas pekerja penghantaran dijatuhi hukuman penjara dan sebat kerana mencabul seorang remaja berusia 13 tahun dan secara berasingan, mencuri barangan yang dihantar.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, disebat, didenda kerana cabul remaja 13 tahun, curi barang Adidas ketika bertugas

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 29 Oct 2020 07:13PM Dikemas Kini : 29 Oct 2020 07:14PM

SINGAPURA: Seorang bekas pekerja penghantaran dijatuhi hukuman penjara dan sebat kerana mencabul seorang remaja berusia 13 tahun dan secara berasingan, mencuri barangan yang dihantar.

Amiruddin Zuraimy, 25 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan bagi setiap kesalahan pecah amanah dan mencabul individu bawah umur, dengan satu lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Warga Singapura itu dihukum penjara dua tahun dan lima sebatan pada Rabu (28 Okt). Dia juga diarah membayar denda sebanyak S$2,500.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar awal Mac lalu, mangsa yang tidak boleh didedahkan namanya kerana perintah mahkamah untuk melindungi identitinya, mengenali Amiruddin menerusi seorang teman yang hanya dikenali sebagai Aniq.

Pada 16 Mac, Amiruddin memujuk bapa mangsa supaya membenarkan mangsa pergi memancing semalaman bersamanya.

Apabila bapa mangsa meluahkan keprihatinan tentang isu disiplin yang dihadapi oleh mangsa, Amiruddin memberi jaminan bahawa dia akan menasihati remaja itu.

Bapa mangsa kemudian memberi izin kepada remaja itu untuk ikut tertuduh pergi memancing.

Tiga hari kemudian, Amiruddin menghantar pesanan teks kepada ibu mangsa, meminta izin remaja itu tidur semalaman di rumahnya. Dia juga mendakwa memerlukan bantuan mangsa untuk memasang perhiasan bagi majlis perkahwinan pada keesokan hari.

Pada malam itu, apabila mereka tidur sekatil, Amiruddin mengambil peluang untuk mencabul mangsa buat pertama kali.

Meskipun mangsa berasa "terkejut, takut dan tidak pasti" bagaimana untuk memberi reaksi, remaja itu hanya berdiam diri dan berpura-pura tidur.

MANGSA BERSEMUKA DENGAN TERTUDUH

Pada keesokan pagi, remaja itu membantu Amiruddin memasang perhiasan.

Sekali lagi, Amiruddin meminta izin dari ibu mangsa untuk membenarkan remaja itu tidur untuk satu malam lagi. Ibu mangsa bersetuju kerana memikirkan bahawa Amiruddin seorang peran contoh yang baik untuk anaknya.

Oleh kerana tidak mahu tidur sekatil dengan Amiruddin lagi, mangsa bertanya jika beliau boleh tidur di lantai, kerana bilik itu terlalu panas. Amiruddin menjawab dia boleh tambah kelajuan kipas.

Dek fikirkan dia tidak mempunyai pilihan lain, remaja itu bersetuju untuk tidur sekatil lagi dengan Amiruddin.

Pada malam itu, Amiruddin menyeluk tangannya ke dalam seluar pendek yang dipakai mangsa lalu memegang alat sulitnya dan melakukan perbuatan seks terhadapnya.

Remaja itu berpura-pura tidur kerana berasa takut dan kemudian pura-pura baru bangun tidur dan pergi ke tandas.

Oleh kerana takut dicabuli oleh Amiruddin lagi, mangsa berkeras mahu tidur di lantai selepas itu sebelum pulang ke rumah pada keesokan hari.

Setelah memikirkan tentang apa yang berlaku, mangsa dan dua orang kawannya bersemuka dengan Amiruddin di sebuah kedai kopi dua hari kemudian. Amiruddin meminta maaf dan meminta mangsa berbohong kepada ibu bapanya tentang apa yang dia lakukan.

Namun, mangsa memberitahu hal sebenar kepada ibu bapanya lalu mereka menasihatinya supaya membuat aduan polis. Bapanya membawa mangsa ke balai polis pada keesokan hari.

CURI KASUT, SELIPAR, BEG

Secara berasingan, ketika bekerja bersama syarikat Pickupp Pte Ltd sebagai seorang pekerja penghantaran, Amiruddin mencuri beberapa barangan jenama Adidas. Nilai keseluruhan barangan yang dicuri adalah S$1,360.

Perbuatannya itu terbongkar apabila seorang wakil Adidas menarik terhadap kesilapan antara barangan yang ditempah dan yang dihantar oleh Amiruddin.

Pickupp kemudian melakukan pemeriksaan terhadap penghantaran yang dibuat Amiruddin, yang mendedahkan sepasang kasut yang hilang.

Pada mulanya, Amiruddin menafikan perbuatannya itu, namun sebuah kotak kasut ditemui dalam vannya semasa pemeriksaan dijalankan.

Pegawai eksekutif operasi firma itu menyuruh Amiruddin memulangkan kesemua barangan yang dicuri dalam masa dua hari, namun dia tidak berbuat demikian.

Apabila pegawai polis menggeledah rumahnya pada Jun lalu, mereka menemui hanya tiga barang. Amiruddin mendakwa dia sudah membuang barangan yang lain sebelum ditangkap kerana dia mendakwa ia sudah rosak atau lusuh.

Dia sudah pun membuat bayaran penuh kepada Pickupp. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita