Lelaki dipenjara, dirotan patahkan ibu jari pakcik setelah bertengkar fasal komputer riba rosak
Setelah bertelingkah mengenai komputer ribanya yang rosak, seorang lelaki berusia 39 tahun menyerang pakciknya dengan menggunakan sebilah pisau roti.
(Gambar: Unsplash/Dan Dimmock)
SINGAPURA: Setelah bertelingkah mengenai komputer ribanya yang rosak, seorang lelaki berusia 39 tahun menyerang pakciknya dengan menggunakan sebilah pisau roti.
Tindakan Mohd Heirizal Kamarzaman itu menyebabkan ibu jari Encik Ahmad Sharip patah dan hampir putus. Kejadian itu berlaku di rumah mereka di Tampines pada sekitar 9.00 malam, 31 Januari 2019.
Heirizal kecewa setelah Encik Ahmad, 61 tahun, enggan membayar untuk membaiki komputer ribanya setelah kucing lelaki itu tertumpahkan bir ke peranti tersebut.
Heirizal juga menuduh pakciknya itu hendak mengusirnya keluar daripada rumah di mana mereka tinggal bersama.
Pada Jumaat (23 Jul), Herizal dijatuhi hukuman penjara lima tahun, dua bulan dan tujuh minggu serta dikenakan lapan sebatan rotan.
Dia mula menjalani hukumannya pada tarikh dia direman selepas ditangkap menyusuli serangan itu.
Heirizal mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah pada pakciknya selain dua tuduhan tidak berkaitan sengaja menyebabkan kecederaan pada seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh dan membuat panggilan gangguan kepada polis.
Enam tuduhan lain termasuk melakukan gangguan juga diambil dalam pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Heirizal bertengkar dengan Encik Ahmad sebelum meninggalkan rumah untuk pergi minum.
Sekembalinya ke rumah, Heirizal sekali lagi menjadi marah dan memberitahu makciknya yang datang berkunjung ketika itu bahawa dia memerlukan duit untuk membaiki komputer ribanya.
Heirizal kemudian mengambil pisau roti dari dapur dan berjalan ke arah Encik Ahmad yang ketika itu sedang mandi.
Heirizal menendang pintu bilik air sehingga ia terbuka dan mula mengelar pakciknya beberapa kali.
Encik Ahmad tercedera tatkala cuba menepis serangan tersebut menggunakan tangan kirinya.
Seorang jiran menghubungi polis setelah makcik Heirizal berlari keluar dari rumah untuk meminta bantuan.
Encik Ahmad diberi sekitar tiga bulan cuti hospital dan diletakkan di bawah tugasan ringan selama lagi tiga bulan berikutnya.
Sebelum insiden itu, Heirizal pernah diberkas, yang pertama pada November 2017 setelah membuat panggilan gangguan kepada polis di mana dia menyanyikan lagu dengan bahasa kesat.
Pada Februari 2018, selepas menogok beberapa tin bir, dia menumbuk seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh berusia 26 sebanyak dua kali.
Heirizal juga cuba merosakkan lampu isyarat kereta buggy pekerja pembersihan itu dan rakan sekerjanya, yang sedang membersihkan sampah di sebuah estet perumahan di Bedok North.
Sabitan jenayahnya yang terakhir adalah pada 2013 apabila dia dipenjara selama dua setengah tahun, disebat dan didenda bagi pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Lain (Arahan Awam dan Gangguan).
Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah, dia boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 15 tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.
Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$5,000.
Bagi kesalahan membuat panggilan gangguan pula, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan didenda sehingga S$5,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.