Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, didenda langgar peraturan COVID-19 tawar khidmat kongsi kereta semasa 'circuit breaker'

Juhari Supari terima tambang S$7 untuk bawa 2 individu ke Novena, namun ditahan pegawai LTA. Selain dikenakan hukuman penjara dan denda, dia dilarang memandu selama setahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, didenda langgar peraturan COVID-19 tawar khidmat kongsi kereta semasa 'circuit breaker'

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 07:38PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 07:41PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menawarkan khidmat perkongsian kereta atau 'carpool' semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 tahun lalu dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan didenda S$1,800 pada Jumaat (3 Dis).

Juhari Supari, 52 tahun, disabitkan dengan tiga kesalahan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Ini termasuk menggunakan kenderaan tidak berlesen untuk menyediakan khidmat pengangkutan dan menggunakan kenderaan yang tidak dilindungi insurans untuk mengangkut penumpang.

Dia juga diharamkan memandu selama 12 bulan.

Semasa waktu kesalahan, Juhari adalah seorang pegawai teknikal di SP Group dan diletakkan di bawah aturan kerja dari rumah di tengah-tengah pemutus rantaian COVID-19. Perhimpunan sosial dan banyak kegiatan tidak penting digantung ketika tempoh tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, Juhari adalah anggota kumpulan Telegram "SGHitch" yang kemudiannya ditukar nama kepada "COVID-19 Lockdown SGHitch".

Pada 22 Apr 2020, Juhari menghantar mesej dalam ruang sembang itu pada sekitar 2.55 petang, dengan berkata "Pemandu mencari Pax (penumpang)". Dia menulis bahawa tempat mengambil penumpang hendaklah di kawasan Compassvale dan tempat penghantaran di Pusat Perubatan Thomson, di mana dia bercadang untuk menjemput isterinya.

"Seorang bakal penumpang dengan nama 'Decha' telah menyahut teks tertuduh, dan pada sekitar 4.15 petang, tertuduh menerima permintaan 'carpooling' untuk membawa penumpang tersebut dari Blk 447A Fernvale Road ke Novena Square dengan tambang S$7," kata pendakwa raya dalam kenyataan fakta.

Dua penumpang lelaki menaiki kereta Juhari pada kira-kira 5.20 petang dan mereka membayar tambang secara tunai.

Pada sekitar 5.25 petang, seorang pegawai penguatkuasa LTA menahan keretanya di Yio Chu Kang Road.

Menurut pendakwa raya, Juhari memberitahu penumpangnya supaya memberitahu pegawai LTA bahawa mereka adalah rakannya. Namun apabila pegawai itu bertanyakan nama mereka, Juhari tidak dapat menjawab.

Awal tahun ini, seorang lagi lelaki yang meninggalkan rumahnya untuk menyediakan perkhidmatan kongsi kereta semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan juga dipenjara dan didenda. Dia juga merupakan anggota kumpulan Telegram itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan