Lelaki dipenjara bergaduh di Mahkamah, tumbuk bapa bekas temanita
Seorang lelaki berkelakuan agresif, mengancam seorang pegawai perlindungan kanak-kanak, bergaduh di Mahkamah Keadilan Keluarga dan mengancam menggantung kepala 'khinzir' di rumah bekas temanitanya.

SINGAPURA: Seorang lelaki berkelakuan agresif, mengancam seorang pegawai perlindungan kanak-kanak, bergaduh di Mahkamah Keadilan Keluarga dan mengancam menggantung kepala 'khinzir' di rumah bekas temanitanya.
Bagi kesalahan-kesalahannya itu, Mohammad Ridzwan Mohamed Amir, 32 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan lima minggu pada Selasa (3 Dis).
Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan termasuk sengaja menyebabkan kecederaan dan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan. Tiga lagi tuduhan juga diambil kira.
Mahkamah diberitahu bahawa insiden pertama berlaku pada 11 Apr tahun lalu, apabila seorang pegawai perlindungan kanak-kanak dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menelefon Ridzwan.
Beliau ditugaskan untuk memberitahu Ridzwan mengenai keputusan MSF untuk membuat aduan kepada hakim mahkamah keluarga kerana dia tidak bersetuju dengan bekas temanitanya mengenai tempat tinggal anak mereka.
Bekas teman wanitanya melahirkan anak lelaki mereka pada Januari 2018, dan pasangan itu putus sebulan kemudian.
Semasa panggilan telefon itu, pegawai berkenaan memperkenalkan dirinya dan memberitahu Ridzwan bahawa anaknya disarankan tinggal bersama ibu bekas temanitanya.
Dia menjadi berang menurut Timbalan Pendakwa Raya Chan Yi Cheng dan menjadi lebih agresif sambil mengancam pegawai itu, "Anda berhati-hati, nyawa anda, kelurga anda" sebelum meketakkan telefon.
Pegawai itu kemudian membuat aduan polis.
BERGADUH DI MAHKAMAH KELUARGA
Pada sekitar pukul 10.00 pagi pada 22 Jun tahun lalu, Ridzwan menghadiri sesi hak jagaan anak lelakinya di Mahkamah Keadilan Keluarga.
Ridzwan dan bekas temanitanya masing-masing ditemani keluarga mereka.
Ridzwan dan keluarganya mula menjerit serta mendakwa bekas temanitanya tidak tahu menjaga anak. Wanita itu bagaimanapun tidak memberi sebarang tindak balas.
Namun, Ridzwan menghampiri anak saudara bekas temanitanya dan mendakwa remaja itu merenungnya.
Ridzwan kemudian menumbuk dada remaja dan cuba menumbuknya lagi, tetapi berjaya dihalang. Anggota keluarganya yang lain juga ikut sama, dan pertengkaran itu hanya berakhir apabila para pegawai keselamatan dan polis masuk campur.
TUMBUK BAPA BEKAS TEMANITA, ANCAM GANTUNG KEPALA KHINZIR
Keganasan itu berterusan apabila Ridzwan dan ayahnya mencari bapa bekas temanitanya pada 23 Jun 2018.
Dia menumbuk muka Lelaki itu dan kemudian meninggalkan blok tersebut.
Apabila pasangan itu berjumpa sekali lagi di Mahkamah Keadilan Keluarga pada Jun tahun ini, Ridzwan mengancam wanita berusia 28 tahun itu.
Dia memaki dan meminta wanita itu membayarnya wang kerana sudah tinggal di rumahnya selama tujuh bulan.
"Aku akan gantung kepala babi kat rumah kau (dan) pukul bapak kau lebih teruk lagi dari dulu," katanya.
Selain kesalahan tersebut, Ridzwan juga memecah masuk rumah seorang lagi bekas temanitanya pada Mac tahun ini.
Dia kemudian didakwa dan ditahan atas kesalahan-kesalahannya.
Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, Ridzwan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Atas kesalahan memecah masuk pada waktu malam, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan didenda.
Selain itu, bagi kesalahan menggunakanan kata-kata ancaman kepada seorang kakitangan awam, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.