Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara 9 hari selepas berhenti kereta di tengah jalan, tampar pemandu van

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan hari pada Jumaat (28 Ogos) selepas memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tengah jalan untuk berdepan dengan seorang pemandu van yang dilihat menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 9 hari selepas berhenti kereta di tengah jalan, tampar pemandu van

Jereme Quek Han Fei tiba di Mahkamah Negara pada 28 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 08:42PM
  • Jereme Quek Han Fei dijatuhi hukuman penjara sembilan hari dan dilarang memandu enam bulan kerana bertindak terburu-buru di jalan raya.
  • Insiden berlaku pada 5 April di persimpangan Admiralty Road West dan Woodlands Avenue 10, Singapura, selepas Quek melihat Tran Nhat Sinh menggunakan telefon ketika memandu.
  • Quek membunyikan hon, memaki hamun, memotong van, dan menghentikan kereta secara tiba-tiba sebelum berlaku pergaduhan fizikal antara mereka.
  • Hakim membenarkan permohonan Quek menangguhkan hukuman penjara atas alasan keluarga, manakala Tran juga telah didakwa di mahkamah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan hari pada Jumaat (28 Ogos) selepas memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tengah jalan untuk berdepan dengan seorang pemandu van yang dilihat menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Jereme Quek Han Fei, 40 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan bertindak secara terburu-buru sehingga membahayakan keselamatan orang lain.

Dua lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Quek turut dilarang daripada memiliki atau mendapatkan sebarang kelas lesen memandu selama enam bulan mulai Jumaat (28 Ogos).

Kejadian berlaku sebelum 1.00 tengah hari pada 5 April lalu ketika Quek memandu di persimpangan Admiralty Road West dengan Woodlands Avenue 10.

Ketika memotong sebuah van, Quek ternampak pemandunya, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Tran Nhat Sinh, menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Berang dengan perbuatan itu, Quek membunyikan hon berulang kali dan memaki hamun Tran sambil mengekorinya.

Dia kemudian memotong van tersebut sebelum memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tengah-tengah jalan tiga lorong.

PERTENGKARAN BERTUKAR MENJADI PERGADUHAN

Quek keluar dari keretanya dan menghampiri van itu sambil terus memaki hamun Tran.

Dia turut merakam Tran menggunakan telefon bimbitnya, namun Tran merampas telefon tersebut.

Quek kemudian membuka pintu van dan menampar Tran sebelum menutup semula pintu itu.

Tran keluar dari van dan menumbuk Quek sebelum kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan.

Seorang pemandu yang melalui kawasan itu campur tangan dan meleraikan mereka.

Kejadian tersebut turut dirakam kamera dalam kereta Quek.

Quek diberkas pada hari yang sama dan dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat. Dia didapati mengalami keretakan pada gigi serta luka akibat pergaduhan tersebut.

Tran juga sudah didakwa di mahkamah.

TINDAKAN BAHAYAKAN PENGGUNA JALAN RAYA

Timbalan Pendakwa Raya Intan Suhaily Abu Bakar memohon hukuman penjara antara dua hingga empat minggu serta larangan memandu selama enam bulan.

Beliau berkata Quek bukan sekadar membunyikan hon terhadap Tran, malah mengekorinya dan memberhentikan kereta di tengah jalan untuk berdepan dengannya.

Tindakannya membahayakan kedua-dua lelaki serta pengguna jalan raya lain, menurut pihak pendakwaan.

Quek, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan bapanya kini berada di rumah jagaan.

Dia turut meminta hukuman penjaranya ditangguhkan selama lima minggu bagi membolehkannya menguruskan hal pekerjaan dan keluarga.

Hakim Daerah Ng Cheng Thiam membenarkan permohonan tersebut dan memutuskan untuk tidak menaikkan wang jaminannya, yang ditetapkan pada S$10,000.

Bagi kesalahan bertindak secara terburu-buru sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, Quek boleh didenda sehingga S$2,500, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita