Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara 7 minggu; pergi kerja, abaikan SHN setelah pulang dari Batam

Seorang lelaki Singapura yang pulang dari Batam sewaktu  pandemik COVID-19 tahun lalu pada mulanya enggan menandatangani borang Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), mendakwa dirinya tidak dikehendaki menjalani perintah pengasingan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 7 minggu; pergi kerja, abaikan SHN setelah pulang dari Batam

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 10:51PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 11:50PM

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura yang pulang dari Batam sewaktu pandemik COVID-19 tahun lalu pada mulanya enggan menandatangani borang Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), mendakwa dirinya tidak dikehendaki menjalani perintah pengasingan itu.

Dia akhirnya menerima hakikat perlu menjalani SHN selama 14 hari selepas pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menerangkan keadaan kepadanya. Namun lelaki itu tetap bertegas tidak mahu menjalani SHN kerana akan hanya berada di Singapura beberapa hari sahaja.

Dia akhirnya dikenakan SHN selepas berkata akan tinggal di rumah saudara perempuannya. Bagaimanapun, dia kemudian keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pengedar barangan dapur hampir setiap hari semasa tempoh notisnya itu.

Rozman Abdul Rahman, 41 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu pada Khamis (2 Dis) di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Mahkamah diberitahu Rozman pulang ke Singapura dari Batam dengan menaiki feri pada 20 Mac 2020.

Semasa di Pusat Persiaran Singapura, Rozman pada mulanya enggan menandatanganiborang SHN. Dia mendakwa telah membaca di laman Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa sekatan dikenakan hanya dari jam 11.59 malam tersebut.

Namun, pemerintah mengumumkan semua individu yang tiba di Singapura dari 16 Mac 2020 dikehendaki menjalani SHN selama 14 hari.

Rozman menerangkan kepada pegawai ICA dia tidak mahu menjalani SHN kerana akan hanya berada di Singapura dua tiga hari sahaja.

Menurutnya dia tinggal di Malaysia tetapi bekerja di Singapura dan akan berulang-alik antara kedua-dua negara.

Apabila ditanya di mana dia akan menjalani SHN, Rozman menulis alamat saudara perempuannya.

Dia bagaimanapun tidak pergi ke rumah saudara perempuannya itu tetapi sebaliknya hidup gelandangan di tempat meletak kereta bertingkat di belakang Chinatown Point dan kemudian di laluan pejalan kaki dekat VivoCity. Dia akhirnya berpindah ke sebuah pusat gelandangan.

Rozman melaporkan diri ke tempat kerja hampir setiap hari sewaktu tempoh SHN, dari 20 Mac hingga 30 Mac 2020 dan sekali lagi antara 1 April dengan 3 April tahun lalu. Dia bekerja syif malam di Grocery Logistic Singapura di Joo Koon Circle bersama seorang pegawai keselamatan yang lain tetapi tidak memberitahu syarikatnya tentang notis SHN tersebut.

Pegawai ICA pergi ke rumah saudara wanitanya pada 2 April 2020 dan mendapati Rozman tidak pernah berada di sana, bahkan tidak menghubungi saudara perempuannya itu.

Oleh kerana dia tidak boleh dikesan atau dihubungi, pegawai ICA menghubungi majikan Rozman dan mendapati dia melaporkan diri ke tempat kerja sepanjang menjalani SHN.

DIA GELANDANGAN, KATA PEGUAM BELA

Peguam Azri Imran Tan dan Joshua Chow dari firma IRB Law, yang mewakili Rozman secara percuma, meminta supaya anak guamnya dikenakan perintah kerja kemasyarakatan. Mereka meminta sama ada gabungan perintah penahanan singkat dan perintah pelaporan harian atau denda.

Mereka menerangkan bahawa Rozman pulang ke Singapura untuk bekerja bagi mencari nafkah untuk menyara keluarganya serta diri sendiri dan dia "tidak ada tempat tinggal".

Kedua-dua peguam itu berkata Rozman tidak boleh tinggal bersama saudara perempuannya kerana "hubungan mereka tidak baik" angkara pertelingkahan berhubung pembelian sebuah flat.

Dia "tidak ada tempat tinggal" kerana bekas isterinya diberi hak ke atas flat mereka semasa bercerai pada 2016 manakala saudara perempuannya pula menggunakan nama ibu mereka untuk membeli bersama satu lagi flat.

Rozman juga gagal dalam percubaannya untuk membeli atau menyewa sebuah flat pada 2018 kerana isteri barunya bukan seorang rakyat mahupun penduduk tetap Singapura ataupun pemegang pas lawatan jangka panjang.

Oleh demikian, Rozman dan isterinya menyewa sebuah apartmen kecil di Johor Bahru sementara Rozman terus bekerja di Singapura.

Peguam belanya berkata Rozman terus bekerja semasa tempoh SHN kerana dia perlu menyara dirinya serta isteri. Mereka menambah lelaki itu bahkan tidak ada wang untuk menokok kad pra-bayar dalam telefon bimbitnya,

Hanya setelah dia ditahan, Rozman dibantu oleh seorang pekerja sosial yang mencarikannya tempat berteduh di Hope Center dan di sebuah gereja.

Pendakwa raya berkata sekiranya Rosman memberitahu pegawai ICA tentang keadannya, mereka pasti akan membantunya mencari tempat tinggal.

Bagi kesalahan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, Rozman boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita