Lelaki dipenjara 7 bulan, guna kad kredit dicuri untuk bayar perjalanan teksi, barangan dapur
Seorang lelaki berusia 35 tahun dihukum penjara tujuh bulan pada Jumaat (13 Ogos) kerana menggunakan butiran kad kredit dicuri untuk membayar hampir S$26,000 untuk perjalanan teksi dan membeli barangan dapur.

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 35 tahun dihukum penjara tujuh bulan pada Jumaat (13 Ogos) kerana menggunakan butiran kad kredit dicuri untuk membayar hampir S$26,000 untuk perjalanan teksi dan membeli barangan dapur.
Sebahagiannya dijual semula untuk keuntungan.
Julian Sim Mong Teck, seorang warga Singapura, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membuat pembayaran tanpa kebenaran daripada pemegang kad kredit, dengan dua pertuduhan serupa diambil kira semasa hukuman.
Sim telah membeli butiran kad kredit dari forum dalam talian.
Perbicaraan kes bagi dua rakan subahatnya - Ang Soon Loo, 45 tahun dan Saifullizam Seman, 35 tahun - masih belum selesai.
APA YANG BERLAKU
Pada suatu ketika pada 2018, Sim dan Ang menjumpai sebuah forum online yang menjual butir-butir kad kredit yang diperolehi secara haram untuk kira-kira S$10 setiap satu.
Sim membeli sejumlah butiran tersebut dan membuka akaun-akaun palsu pada aplikasi mudah alih tempahan teksi ComfortDelGro.
Sim menggunakan butiran yang dicuri itu sekitar November 2019 untuk menempah sekurang-kurangnya enam perjalanan teksi berjumlah S$120.58.
Antara 22 Mac dengan 29 Mac tahun lalu, Sim menyuruh Ang untuk membuat tempahan perjalanan teksi bagi pihaknya meskipun mengetahui bahawa Ang akan menggunakan butiran kad kredit yang dicuri untuk membayar perjalanan itu. Sim membuat tujuh perjalanan teksi yang berjumlah S$123.45.
Pada bulan itu, Sim membuka sekurang-kurangnya 14 akaun menggunakan butir-butir palsu pada aplikasi Scan and Go NTUC FairPrice yang dihubungkan dengan butiran kad kredit yang dicuri.
Aplikasi mudah alih pasar raya itu membolehkan para pembeli mengimbas kod barang-barang tersebut dan membuat bayaran secara online sebelum mengesahkan pembayaran di kiosk sebelum meninggalkan pasar raya tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kenneth Kee berkata: "(Sim) secara khusus akan membeli susu tepung dalam tin, akan kemudian dijual kepada orang lain secara online untuk mendapatkan keuntungan."
Dengan butiran kad kredit yang dicuri itu, Sim membelanjakan S$6,481.03 bagi barangan dapur untuk dirinya dan juga bagi susu tepung yang dijual semula pada harga keuntungan.
Pada bulan seterusnya, dia mendapatkan bantuan Saifullizam, yang dikenalinya semasa menjalani Perkhidmatan Negara untuk membeli susu tepung bagi pihaknya.
Saifullizam dipercayai mengambil gambar kod tin susu tepung berkenaan untuk dihantar kepada Sim supaya dia boleh membuat bayaran melalui aplikasi Scan and Go.
Dia didakwa menerima S$250 untuk setiap perjalanan yang dibuat untuk menghantar susu tepung berkenaan kepada Sim.
Sim, dengan bantuan Saifullizam, memperolehi barang-barangan dapur bernilai S$19,206.40 menggunakan sekurang-kurangnya 31 butiran kad kredit berbeza dalam tempoh sembilan hari antara 7 April dengan 30 April tahun lalu.
"(Sim) menganggarkan bahawa dia membayar (Saifullizam) S$2,500 secara keseluruhan manakala dia memperoleh sekitar S$10,000 daripada penjualan semula susu tepung," kata DPP Kee.
Kesalahan Sim terbongkar setelah seorang kakitangan Comfort Transportation, cabang ComfortDelGro, membuat aduan polis pada 17 April mengenai caj tambang teksi yang dipertikaikan yang ditanggung kad bank luar negara.
Pada 2 Mei, seorang kakitangan NTUC FairPrice juga membuat aduan polis mengenai transaksi dipertikaikan yang serupa.
Sejak itu Sim telah membayar balik S$244 kepada Comfort Transportation dan S$25,687 kepada NTUC FairPrice.
Atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan komputer melaksanakan apa-apa fungsi untuk tujuan mendapatkan akses tanpa kebenaran, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$5,000 atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.