Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 63 bulan; curi S$1 juta dari majikan, guna sijil pelajaran palsu

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 63 bulan; curi S$1 juta dari majikan, guna sijil pelajaran palsu

Gambar Hiasan. (Gambar: Pexels)

SINGAPURA: Diamanahkan dengan cek kosong dan baucar yang sudah ditandatangani oleh pengarah syarikatnya, seorang setiausaha berusia 58 tahun mencuri lebih S$1 juta daripada majikannya.

Peter Nah Kim Chye pada Jumaat (6 Jan) dijatuhi hukuman penjara 63 bulan, iaitu bersamaan dengan lima tahun tiga bulan. Dia mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan setiap satu melakukan jenayah pecah amanah, menipu, pemalsuan dan pemalsuan bagi tujuan menipu.

Tujuh lagi tuduhan lain turut di ambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

BAGAIMANA DIA MENIPU MAJIKAN

Nah bekerja sebagai setiausaha di I Dzzign dan bertindak sebagai salah seorang pengarah syarikat antara 1 Mac 2010 dengan 19 Oktober 2016.

Syarikat itu mengendalikan khidmat pembungkusan dan reka bentuk grafik.

Tanggungjawabnya adalah untuk memastikan bayaran segera dibuat kepada pembekal dan vendor, menyediakan dokumen yang diperlukan untuk mencatatkan pembayaran serta untuk menyelia rekod perakaunan syarikat.

Dia diamanahkan dengan cek kosong, baucar bayaran kosong dan borang pindahan telegraf kosong yang sudah ditandatangani terlebih dahulu oleh pengarah syarikat, Ng Lai Hoon.

Muslihat Nah terbongkar apabila Cik Ng melakukan pemeriksaan ke atas akaun syarikat selepas dia meletak jawatan pada 19 Oktober 2016.

Beliau kemudian membuat aduan polis selepas menyedari bahawa Nah mencuri wang daripada syarikat.

Siasatan mendedahkan bahawa antara 24 Oktober 2014 dengan 3 November 2014, Nah memalsukan empat baucar pembayaran cek di bawah nama syarikat.

Dia juga memperdaya pembekal I Dzzign di Malaysia untuk menyediakan 10 invois dengan alasan untuk membuat tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

SIJIL PENDIDIKAN PALSU

Semasa prosiding undang-undang terhadap Nah, Cik Ng mendapat tahu bahawa kelayakan pendidikan tertingginya ialah Darjah 3.

Namun beliau teringat bahawa Nah sebelum ini mendaftar kerja di syarikat pencetakkan Flo-Prints and Packs dengan sijil Singapore-Cambridge GCE Peringkat O.

Cik Ng ialah pengarah Flo-Prints and Packs pada masa itu dan menerima permohonan kerjanya, termasuk sijil GCE O-Level, diploma dalam pemasaran dari Chartered Institute of Marketing serta satu sijil dalam pemasaran daripada Thames Business Management School.

Nah memalsukan sijil-sijil itu dengan mengubah
kelayakan pendidikan individu lain yang diaksesnya apabila dia memegang peranan pekerjaan yang berbeza di syarikat lain.

Selepas menyemak dengan Kementerian Pendidikan (MOE), Cik Ng menyedari bahawa beliau sudah diperdaya dan membuat aduan polis pada 17 Julai 2020.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ong Xin Jie mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 66 bulan.

Beliau berkata, Nah melakukan kesalahan itu dalam jangka yang panjang kerana tamak dan dia tidak memulangkan jumlah wang yang diambilnya.

Atas jenayah pecah amanah, Nah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap tuduhan.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan