Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 6 minggu hina pekerja perpustakaan, poliklinik dengan kata kesat berbaur perkauman

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki 62 tahun dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Rabu (11 Mei) kerana menggunakan kata-kata hinaan berbaur perkauman kepada seorang pekerja di perpustakaan dan poliklinik sebanyak tiga kali.

Peethambaran Dilip mengaku bersalah atas satu tuduhan mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja untuk menyinggung perasaan kaum lain, dan dua tuduhan menggunakan kata-kata penghinaan terhadap kakitangan awam.

Tiga lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa kejadian pertama berlaku semasa Dilip pergi ke Perpustakaan Awam Clementi pada 9 Jun tahun lalu.

Rakaman CCTV menunjukkannya menurunkan pelitup, membuka tong sampah lalu meludah ke dalam. Seorang pekerja pembersihan terperasan kelakuan itu dan melaporkannya ke pihak pengurusan perpustakaan.

Sebelum Dilip meninggalkan tempat itu, seorang pegawai perpustakaan menghampiri dan menasihatkannya supaya tidak meludah ke dalam tong sampah kerana ia perbuatan tidak bersih, terutamanya semasa pandemik COVID-19.

Pegawai itu tahu bahawa Dilip pernah melakukan sama sebelum ini, menurut dokumen mahkamah.

Dilip menjadi marah dan melontarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pegawai itu.

Dua lagi kejadian melibatkan pekerja di Poliklinik Marine Parade, di mana Dilip dikenali kakitangan di situ kerana pernah memarahi pekerja-pekerja sebelum itu.

Dilip boleh dikenakan hukuman yang lebih berat bagi kedua-dua kesalahan di poliklinik itu kerana sabitan kesalahan sebelum ini di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Lain (Ketenteraman Awam dan Gangguan).

Pihak pendakwa meminta hukuman sekurang-kurangnya enam minggu penjara, kerana Dilip pernah ada kes berkaitan keganasan.

Pada 2017, Dilip disabitkan kesalahan dan dipenjara enam minggu kerana menumbuk dan menampar seorang pemandu bas.

"Adalah jelas bahawa tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melayan pekerja perkhidmatan dengan kasar dan kini menggunakan kata-kata berbaur perkauman," kata Timbalan Pendakwa Raya Tan Zhi Hao.

"Ini harus ditangani dengan tegas, memandangkan keperluan untuk memelihara keharmonian kaum di Singapura."

Beliau juga menarik perhatian bahawa Dilip melakukan dua kesalahan terhadap pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan semasa pandemik COVID-19.

Hukuman bagi mengeluarkan kata-kata dengan niat sengaja untuk menyinggung perasaan kaum lain ialah penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menggunakan kata-kata hinaan terhadap kakitangan awam boleh dipenjara sehingga setahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan