Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara 6 bulan tumbuk amah selepas dikomen banyak makan

Gara-gara marah dengan cara seorang pembantu rumah memotongkan makanan untuknya serta kenyataan yang dilemparkan oleh amah itu bahawa dia banyak makan, seorang lelaki bertindak menumbuk wanita berkenaan tiga kali di mukanya sehingga menyebabkan patah tulang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 6 bulan tumbuk amah selepas dikomen banyak makan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Feb 2022 12:34PM

SINGAPURA: Gara-gara marah dengan cara seorang pembantu rumah memotongkan makanan untuknya serta kenyataan yang dilemparkan oleh amah itu bahawa dia banyak makan, seorang lelaki bertindak menumbuk wanita berkenaan tiga kali di mukanya sehingga menyebabkan patah tulang.

Suriya Krishnan, 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Selasa (8 Feb). Dia juga diperintahkan agar membayar pampasan sebanyak S$8,500 kepada mangsa.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja pada pembantu rumah di mana kecederaan itu tidak bertujuan untuk membawa parah tetapi berakhir dengan sedemikian.

Tuduhan kedua menendang kepala, bahu dan paha mangsa turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu mangsa, seorang warga Myanmar berusia 27 tahun, digajikan oleh kakak Suriya. Suriya tinggal di sebuah flat di Hougang bersama kakaknya, ibu bapa mereka dan mangsa.

Pada malam 29 Mei 2020, keluarga Suriya meraikan hari ulang tahun bapanya di flat itu. Sebelum sambutan itu bermula, Suriya menogok 750 mililiter minuman keras dan menjadi mabuk.

Kira-kira jam 8.30 malam, ibu Suriya mengarahkan mangsa untuk memotongkan jeli buat Suriya. Mangsa pergi ke dapur untuk berbuat demikian tetapi diekori oleh Suriya, yang memintanya menyediakan makanan untuknya.

Mangsa mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud Suriya banyak makan. Perkara ini, di samping hakikat bahawa mangsa tidak memotong jeli mengikut cara yang dimahukan, membuatkan Suriya marah.

Dia memarahi mangsa lantas menyebabkan ibunya campur tangan dan memarahinya.

Dia keluar dari dapur tetapi kemudian kembali dan menumbuk muka pembantu rumah itu sebanyak tiga kali. Satu tumbukan itu hinggap di bawah mata kanan mangsa dan amah itu menutup mukanya sambil membongkok dalam kesakitan.

Suriya ditahan oleh ahli-ahli keluarganya.

Mangsa mendapatkan rawatan perubatan dan didapati mengalami keretakan di sekitar bahagian matanya. Beliau juga mengalami lebam serta pendarahan dan berasa sakit apabila menggerakkan matanya.

Amah itu dimasukkan ke hospital dan kemudian dibenarkan pulang untuk menjalani rawatan susulan pesakit luar. Hospital tersebut membuat aduan polis.

Mangsa berhenti bekerja untuk kakak Suriya selepas insiden itu tetapi dibayar gaji untuk bulan Mei 2020. Beliauberjaya mendapat pekerjaan baru pada 7 Ogos 2020 tetapi tidak menerima gaji untuk bulan Jun dan Julai tahun itu.

Pendakwa raya meminta hukuman penjara tujuh bulan dan berkata kes itu melibatkan seorang mangsa yang mudah terjejas. Beliau juga berkata Suriya dalam keadaan mabuk atas kehendak diri sendiri pada ketika itu.

Selain itu, pihak pendakwaan memohon perintah pampasan sebanyak S$8,500. Daripada jumlah itu, S$1,000 adalah untuk kehilangan pendapatan yang ditanggung mangsa manakala lagi S$7,500 adalah bagi kesakitan dan penderitaan yang dilaluinya.

Hakim mengarahkan Suriya menjalani hukuman penjara enam bulan. Jika dia tidak boleh membayar pampasan S$8,500, dia perlu dipenjara tambahan satu bulan sebagai ganti.

Sumber : CNA/KF/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita