Lelaki dipenjara 6 bulan, palsukan slip gaji untuk dapatkan pinjaman kad kredit lebih tinggi
Seorang lelaki yang memalsukan slip gajinya supaya dia boleh mendapatkan kad kredit dengan had pinjaman lebih tinggi untuk membeli bitcoin, dihukum penjara selama enam bulan pada Rabu (9 Feb).
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang memalsukan slip gajinya supaya dia boleh mendapatkan kad kredit dengan had pinjaman lebih tinggi untuk membeli bitcoin, dihukum penjara selama enam bulan pada Rabu (9 Feb).
Lin Mingzhong, 48 tahun, gagal melunaskan hutang kad kreditnya dan akhirnya mengisytiharkan keadaan muflis. Ini mencetuskan pihak bank untuk menjalankan siasatan dalaman yang menyebabkan jenayahnya terbongkar.
Dia mengaku bersalah pada bulan lalu atas satu tuduhan melakuan pemalsuan dengan tujuan untuk menipu.
Lin mula melabur dalam Bitcoin menerusi sebuah wadah online perdagangan mata wang kripto pada awal 2020 bagi meraih pendapatan tambahan. Dia mula membuat permohonan kad kredit dengan beberapa bank bagi mendapatkan lebih banyak wang untuk membeli bitcoin.
Sekitar Mac 2020, dia memutuskan untuk memohon sebuah kad kredit dengan Citibank. Pada ketika itu, dia bekerja dengan Singapore Green Engineers dan menerima gaji bulanan sebanyak S$6,000.
Bagaimanapun, Lin tidak mengisytiharkan gaji bulanan sebenarnya dalam permohonan kad kredit itu. Sebaliknya, dia menggunakan slip gaji yang diterima sebelum ini oleh bekas majikannya, Mediacorp, pada Oktober 2019 sebagai templat.
Slip gaji itu menunjukkan gaji bulanan sebanyak S$8,100.
Perbuatannya terbongkar setelah Citibank menyiasat kegagalan Lin untuk melangsaikan hutang kad kredit dan membuat pemeriksaan dengan Singapore Green Engineers mengenai gaji bulanannya.
Pihak bank kemudian membuat aduan polis dan Lin mengisytiharkan keadaan muflis kerana gagal membayar balik hutang kad kredit dengan Citibank dan beberapa bank lain.
Kes ditangguhkan sebelum ini untuk membolehkan Lin membuat pembayaran semula, namun dia gagal berbuat demikian.
Dia dibenarkan mula menjalani hukuman penjara pada 1 April untuk menyelesaikan beberapa urusan kerja.
Atas kesalahan melakukan pemalsuan untuk menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.