Lelaki dipenjara 6 bulan guna jam tangan Rolex palsu tipu kedai pajak gadai S$18,000
Seorang lelaki berusia 55 tahun dipenjara enam bulan pada Jumaat (4 Feb) kerana bersubahat untuk menipu sebuah kedai pajak gadai S$18,000 bagi seutas jam tangan Rolex palsu.
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 55 tahun dipenjara enam bulan pada Jumaat (4 Feb) kerana bersubahat untuk menipu sebuah kedai pajak gadai S$18,000 bagi seutas jam tangan Rolex palsu.
Tan Kok Eng, rakyat Singapura, mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Dokumen-dokumen mahkamah menyatakan Tan dihampiri rakannya, Aw Poh Heng, rakyat Singapura berusia 33 tahun, untuk memajak seutas jam tangan Rolex palsu di Marsiling Pawnshop untuk ditukar ganti dengan wang. Namun, tidak dinyatakan bagaimana Aw mendekati Tan.
Aw, yang juga merupakan individu tertuduh dalam kes ini, didakwa memberitahu Tan dia perlu melunaskan hutang yang tertunggak dan sudahpun memperdaya kedai pajak gadai berkenaan sebanyak dua kali pada 15 Julai tahun lalu. Dia memajak dua jam tangan Rolex yang palsu untuk mendapatkan S$34,500.
Aw tidak mahu membangkitkan rasa curiga pekerja kedai pajak gadai itu dengan memajak jam tangan mewah yang ketiga dalam tempoh hanya dua hari. Maka itu, dia didakwa meminta Tan untuk membantu memajakkan jam tangan itu bagi pihaknya.
Selepas Tan bersetuju, Aw didakwa memberinya seutas jam tangan palsu berharga sekitar S$800.
Tan kemudian pergi ke kedai pajak gadai tersebut sekitar jam 10.00 pagi pada 16 Julai 2021 dan menyerahkan jam tersebut kepada seorang pekerja di sana sambil mendakwa bahawa barang itu adalah tulen.
Dia memberitahu pekerja itu dia tertinggal kotak jam tersebut dan sijil ketulenannya di rumah.
Kakitangan itu kemudian menerima jam tangan palsu itu sebagai pajak gadai dan menyerahkan kepada Tan wang tunai sebanyak S$18,000.
Tidak lama kemudian, Tan berjumpa dengan Aw untuk menyerahkan wang yang diterimanya itu. Kedua-dua lelaki tersebut kemudian pergi ke sebuah kedai emas untuk membeli emas. Tan membeli cangkuk tangkal emas bernilai sekitar S$430.
Ketika meminta hukuman penjara tujuh bulan, pihak pendakwa menyatakan wang tersebut belum dipulangkan kepada kedai berkenaan bagi kerugian yang dialaminya.
Kedai itu menyatakan kesanggupannya untuk menerima cangkuk tangkal emas itu, yang ditemui dari rumah Tan selepas penangkapannya, dan beberapa jumlah wang serta barang kemas yang dirampas dari rumah Aw setelah kedua-dua kes mahkamah itu selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Dhiraj Chainani menekankan meskipun kebersalahan Tan lebih rendah berbanding Aw, yang membeli dan membekalkan jam tangan palsu, jumlah yang dikaut Tan daripada kedai pajak kedai itu adalah agak tinggi.
Tan, yang bercakap dalam dialek Hokkien melalui seorang penterjemah, merayu agar dia dikenakan hukuman lebih ringan. Dia berkata dia satu-satunya pencari nafkah buat keluarganya.
Tan menambah dia ada dua orang anak yang masih bersekolah dan menerima bantuan kewangan daripada Majlis Bantuan Pembangunan China (CDAC).
Tan juga meminta untuk menangguhkan permulaan hukumannya sehingga selepas tempoh Tahun Baru Cina berakhir, pada 15 Februari.
Hakim Daerah Jasvender Kaur mengarahkan hukuman penjara enam bulan Tan dimulakan pada 16 Februari.
Bagi satu tuduhan menipu dengan teruk, Tan boleh didenda atau dipenjara sehingga 10 tahun.
Kes Aw masih lagi menanti keputusan daripada mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.