Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 6 bulan gara-gara buat aduan palsu ibu saudara "sedang buat bom"

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 6 bulan gara-gara buat aduan palsu ibu saudara "sedang buat bom"

(Gambar hiasan: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang lelaki, 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada Selasa (4 Okt) kerana memberi maklumat palsu kepada polis, bahawa ibu saudaranya membuat bom.

Muhammad Fathurrahman Mohd Adzlan membuat aduan palsu mengenai ibu saudaranya, yang dikatakan sedang membuat bom, menerusi portal i-Witness kerana menyimpan dendam terhadap wanita itu.

Fathurrahman mengaku bersalah di mahkamah daerah atas satu tuduhan di bawah Peraturan-Peraturan (Langkah-Langkah Antipengganasan) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyampaikan maklumat palsu untuk membuat orang lain percaya bahawa kegiatan pengganasan sedang dijalankan.

Dia juga mengaku atas tuduhan enggan memberi maklumat kepada pihak polis untuk mendapatkan akses kepada telefon bimbitnya.


Tarikh permulaan hukuman Fathurrahman diundurkan kepada 30 Julai tahun ini apabila beliau ditahan di penjara.

Mahkamah diberitahu pada 28 Julai, bahawa Fathurrahman berasa kurang senang selepas menyingkap memori tentang saudara perempuan arwah ibunya.

Tiada perincian lanjut diberikan mengenai dendam terhadap ibu saudaranya itu.

Fathurrahman kemudian membuat aduan menerusi platform i-Witness, dengan nama dan nombor telefon bimbit ibu saudaranya, dengan menyatakan perkataan "sedang membuat bom".

Para pegawai polis dari Balai Polis Kejiranan Jurong West bergegas ke Kelab Masyarakat Taman Jurong, iaitu lokasi yang diberikan Fathurrahman dalam laporan tersebut, untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.Bagaimanapun, tiada peralatan membuat bom ditemui di sana.

Fathurrahman kemudian dikenal pasti dan pihak berkuasa merampas telefon bimbit miliknya.

Sekalipun demikian, dia didapati enggan memberi nama pengguna, kata laluan atau butiran pengesahan lain ketika diarahkan pegawai polis meskipun diminta berulang kali.

Mahkamah juga diberitahu bahawa ini bukan kesalahan pertama yang melanggar undang-undang, yang dilakukan Fathurrahman.

Dia pernah dipenjara seminggu pada 2018 atas kesalahan melakukan gangguan dan baru-baru ini, dikenakan perintah rawatan mandatori selama 12 bulan tahun ini. Dia bagaimanapun melanggar perintah itu dan sekali lagi dijatuhi hukuman namun kali ini, hukuman penjara, pada Ogos.

Rawatan mandatori adalah pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami masalah mental yang menyumbang kepada kesalahan yang dilakukan.

Sesiapa yang disabit kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan (Langkah-Langkah Antipengganasan) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang enggan menuruti arahan pegawai polis semasa siasatan pula, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan