Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara 3 tahun 8 bulan selepas pecah masuk kediaman, curi barangan lebih S$100,000

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 3 tahun 8 bulan selepas pecah masuk kediaman, curi barangan lebih S$100,000

Huang Xiaozong diiringi pegawai polis di kawasan kediaman di Serangoon pada 15 Dis 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 04:19PM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara tiga tahun lapan bulan pada Jumaat (14 Ogos) selepas memecah masuk beberapa kediaman di Singapura dan mencuri barangan berharga bernilai lebih S$100,000.

Huang Xiaozong, 41 tahun, melakukan kesalahan itu ketika kunjungan pertamanya ke Singapura selepas menganggap negara ini sebagai sebuah negara yang "kaya", menurut dokumen mahkamah.

Dia sebelum ini mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah masuk rumah, manakala satu tuduhan menceroboh diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Huang tiba di Singapura pada 5 Disember 2025 dan menginap di sebuah hotel di Little India.

Menurut dokumen mahkamah, dia terfikir untuk mencuri bagi mendapatkan wang selepas melihat Singapura sebagai sebuah negara yang "sangat baik dan kaya".

Dia kemudian menyasarkan kediaman di kawasan lebih mewah yang kelihatan tidak berpenghuni untuk mencuri barangan berharga.

Pada 6 Disember 2025, Huang ke Sentosa dan menemui sebuah bilik suite di The Knolls di Capella Singapore yang kelihatan kosong.

Dia memaksa buka pintu gelangsar di balkoni belakang untuk masuk sebelum mencuri barangan bernilai sekitar S$58,000, termasuk jam tangan Chanel, lima bentuk cincin dan seutas rantai emas.

Kecurian itu diketahui pada 8 Disember selepas seorang pembantu rumah menemui kesan tapak kaki di lantai, sofa yang telah dialihkan serta kabinet kaca yang kosong.

Dalam kejadian berasingan sekitar 8.00 malam pada 7 Disember, Huang memanjat pagar besi sebuah rumah yang gelap di Serangoon dan kelihatan tidak berpenghuni.

Dia mencuri barangan kemas bernilai kira-kira S$47,750, termasuk dua bentuk cincin perkahwinan Tiffany & Co, anting-anting berlian dan rantai emas.

Huang kemudian mencerobohi sebuah lagi rumah dengan memanjat pagar besi tetapi dilihat seorang pembantu rumah.

Dia meninggalkan tempat itu sebelum kembali ke hotelnya di Little India dan kemudian berpindah ke Harbour Ville Hotel di Kampong Bahru Road pada 8 Disember.

Polis menjejakinya ke hotel tersebut dan memberkas Huang pada malam yang sama.

Barangan berkaitan kesalahan itu yang bernilai keseluruhan sekitar S$105,750 ditemui dalam simpanannya dan disita.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 45 hingga 49 bulan, manakala pihak pembelaan meminta hukuman 30 bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Yohanes Ng berkata Huang secara khusus mencari kediaman yang dipercayainya tidak berpenghuni dan boleh dipecah masuk.

Beliau turut menyifatkan kesalahan itu sebagai jenayah rentas negara, memandangkan Huang melakukan kesalahan pertamanya hanya sehari selepas tiba di Singapura.

Peguam bela Don Tan pula menyifatkan perbuatan anak guamnya sebagai tidak profesional dan berhujah bahawa kes Huang berbeza daripada kes melibatkan pesalah yang datang ke Singapura dengan niat untuk melakukan pecah masuk.

Beliau turut menekankan bahawa kerugian yang dialami adalah minimum kerana barangan yang dicuri berjaya ditemui semula.

Bagi kesalahan pecah masuk rumah, Huang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita