Lelaki dipenjara 3 tahun 6 bulan kerana cabul wanita dalam lif, ekorinya berbulan lama
Buat beberapa bulan lamanya, Tia Sin Kwang mengekori seorang wanita yang dikenalinya di tempat kerja, menghantar mesej dan menunggu di kolong blok tempat beliau tinggal.

Gambar hiasan: iStock
SINGAPURA: Buat beberapa bulan lamanya, Tia Sin Kwang mengekori seorang wanita yang dikenalinya di tempat kerja, menghantar mesej dan menunggu di kolong blok tempat beliau tinggal.
Sekalipun lafaz cintanya kepada wanita itu sudah ditolak berulang kali, Tia tetap tidak berputus asa. Sebaliknya, tindakan yang diambil lelaki itu bertambah teruk sehingga pada satu hari, dia mengekori wanita itu ke dalam lif rumah beliau dan mencabul mangsa.
Apabila wanita berkenaan meninggalkan tempat kejadian, Tia terus mengekorinya naik dan turun dari sebuah bas.
Sewaktu di dalam bas, Tia menunjukkan kepada mangsa gambar beliau yang disimpan di dalam telefon bimbitnya. Mahkamah diberitahu perkara itu membuatkan wanita berkenaan berasa "jijik".
Tia, 56 tahun, yang sudahpun berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, mengaku bersalah pada Jumaat (28 Jan) atas satu tuduhan menahan secara paksa untuk mencabul kehormatan mangsa.
Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam bulan, yang termasuk penjara selama tiga bulan sebagai ganti kepada sebatan rotan. Di bawah undang-undang, Tia tidak boleh disebat kerana sudah berusia lebih 50 tahun.
Satu tuduhan mengekori mangsa turut dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.
"KEJAR" MANGSA TANPA HENTI
Mahkamah diberitahu Tia mengenali mangsa, yang ketika itu berumur 38 tahun, kerana mereka bekerja di bangunan yang sama serta tinggal di kawasan kejiranan yang sama.
Walaupun mereka pernah bertegur sapa, pendakwa memberitahu mahkamah mereka berdua "bukan rakan".
Pada awal 2021, Tia ternampak mangsa bersama anak perempuannya di kawasan kejiranan itu dan menawarkan beberapa buku tulisan kepada budak tersebut.
Mangsa bersetuju untuk menerima buku itu dan kedua-duanya berjumpa dekat dengan rumah wanita berkenaan supaya Tia boleh memberikan buku-buku tersebut.
Dari Mei 2021, Tia terus mengekori mangsa dengan menghantarkan mesej tanpa henti kepada wanita itu untuk bertanya sama ada beliau mencintainya. Tia juga beberapa kali berdiri di luar unit wanita itu dan mengikut mangsa serta anak perempuan beliau di kolong blok.
LAYAN MANGSA DENGAN BAIK
Peguam bela Foo Ho Chew dari HC Law Practice menggambarkan tindakan Tia sebagai di luar perwatakannya. Beliau berkata tertuduh adalah seorang pekerja yang baik serta juga seorang suami dan bapa yang baik kepada keluarganya.
Encik Foo berkata anak guamnya "mengikut emosi apabila dia tidak sepatutnya" dengan harapan mangsa akan menabur perasaan yang sama terhadap dirinya. Tia "melayani beliau dengan baik pada minggu-minggu sebelumnya (sebelum insiden mencabul kehormatan berlaku) dengan memberikannya hadiah.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Ng Peng Hong berkata hukuman lebih berat berbanding hukuman minimun yang wajib adalah wajar, memandangkan sifat serta keadaan serius jenayah itu.
Bagi satu tuduhan menahan secara salah untuk mencabul kehormatan mangsa di dalam sebuah lif, Tia boleh dipenjara sehingga 10 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.