Lelaki dipenjara 3 minggu; tebang pokok betik majlis bandaran, ancam individu guna pisau
Lelaki dipenjara 3 minggu; tebang pokok betik majlis bandaran, ancam individu guna pisau.

Gambar fail.
SINGAPURA: Seorang lelaki yang menebang sebatang pokok betik milik majlis bandaran dan kemudian mengacukan senjata itu ke arah seorang individu yang memberi makan kepada kucing, dikenakan hukuman penjara tiga minggu pada Jumaat (7 Mei).
Ang Say Chee, 60 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau cincang ke arah seorang individu yang memberi makan kepada kucing.
Lagi dua tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman: Menebang separuh daripada pokok betik milik Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh dan menyebabkan kerugian kepada orang awam menerusi perbuatan nakal; dan membakar sehelai kain merah dalam satu tindakan terburu-buru yang mengancam keselamatan peribadi.
Mahkamah diberitahu bahawa Ang tinggal di sebuah flat di Toa Payoh Lorong 4. Pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 6 Ogos 2019, dia meletakkan sebilah pisau cincang dalam beg plastik lalu berjalan ke kolong Blok 56, yang terletak berhampiran rumahnya.
Dia kemudian menebang sebatang pokok papaya yang besar di sana kerana percaya pokok itu dihuni roh-roh yang jahat.
Seorang wanita berusia 70 tahun yang berada di tempat sama dan baru sahaja mahu memberi makan kepada kucing-kucing terbiar, terdengar bunyi pokok membelah ke bumi. Beliau melihat Ang berjalan pergi daripada pokok itu dan menghampiri kucing yang ingin diberi makan.
Apabila Ang melihatnya, dia cuba merampas bekas berisi biskut kucing daripadanya, namun ia terlepas daripada genggamannya.
Ang berkata "kotor kotor" dan memberitahu wanita itu dia ingin menghubungi polis dan wanita itu menjawab beliau akan menunggu sehingga polis tiba.
Ang kemudian mengeluarkan pisau daripada beg plastik dan menghayunkannya ke atas kepala wanita tersebut. Dia mengacukan senjata itu ke arah kepala mangsa dan memberitahunya bahawa dia tidak suka wanita itu memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di kawasan kejranan itu.
Mangsa menghubungi polis untuk meminta bantuan lalu bersembunyi di belakang tembok sementara Ang duduk di atas bangku sebelum membuang pisau yang dibawanya. Senjata itu tidak ditemui.
Sebaik tiba di tempat kejadian, polis memberkas Ang.
Pihak pendakwa memohon bagi hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga minggu kerana Ang menggunakan sebilah pisau dengan niat menimbulkan rasa takut namun tiada ancaman secara terang-terangan. Dia juga tidak mengekori mangsa tetapi membuang senjata itu.
Namun, Ang mempunyai sejarah kesalahan dari tahun 1979 bagi beberapa jenayah seperti pecah masuk, membawa bahan memabukkan ke sebuah hospital awam, perbuatan nakal, bergaduh, merogol dan tindakan terburu-buru yang mengancam nyawa atau keselamatan
Bagi kesalahan ugutan jenayah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.