Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 3 minggu; lastik burung hingga terkena kereta tetamu majlis perkahwinan

Seorang lelaki yang amat bencikan burung merpati kerana ia meninggalkan najis secara merata, bertindak melastik burung-burung tersebut menggunakan bebola besi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 3 minggu; lastik burung hingga terkena kereta tetamu majlis perkahwinan

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 09 Sep 2020 06:19PM Dikemas Kini : 09 Sep 2020 06:21PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang amat bencikan burung merpati kerana ia meninggalkan najis secara merata, bertindak melastik burung-burung tersebut menggunakan bebola besi. Namun, dalam satu kejadian, perbuatan lelaki itu terlepas sasaran dan sebaliknya terkena dua buah kereta yang digunakan dalam sebuah majlis perkahwinan di kolong bloknya.

Samuel Tan Joo Soon, 53 tahun, dikenakan hukuman penjara tiga minggu pada Rabu (9 Sep) atas tindakannya itu.

Dia mengaku bersalah bagi satu tuduhan bertindak terburu-buru hingga mengancam keselamatan orang lain. Satu lagi tuduhan memiliki alatn berbahaya dalam bentuk lastik diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan membeli lastik itu pada 2008 dan menggunakannya untuk melastik burung yang bersarang di atas pokok di sekitar kawasan flatnya di Woodlands.

Pada 2016, Tan naik berang kerana burung-burung itu sering meninggalkan najis pada tingkap flatnya atau pada bahagian alat penghawa dingin.

Tan cuba menghalau burung-burung itu dengan menyembur air namun ia tetap kembali, kata Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En.

PADA PAGI KEJADIAN

Antara pukul 6.44 pagi dengan 7.00 pagi pada 1 Julai 2017, sebuah konvoi sebanyak lima kenderaan tiba di lorong jalan raya dekat Blok 762 di Woodlands Avenue 6 bagi sebuah majlis perkahwinan.

Sebaik tiba di tempat itu, pemandu kenderaan berkenaan membunyikan hon bagi menandakan ketibaan pengantin lelaki dan dua pemandu konvoi itu meletakkan kereta mereka di tepi jalan raya tersebut.

Tan terjaga dari tidurnya lalu mengambil lastik sebelum ke bilik anak perempuannya kerana mendakwa terlihat beberapa ekor burung hinggap di belebas blok bertentangan.

Pada ketika itu juga, pengapit pengantin sedang bersorak sambil bermain permainan di kolong blok. Menurut Tan, dia tidak terjejas oleh bunyi bising itu dan dapat bertolak ansur dengan bunyi itu.

Pada kira-kira pukul 7.15 pagi, beberapa pengapit pengantin terdengar bunyi seakan "tembakan" yang kuat namun tidak dapat menentukan dari mana datangnya bunyi itu.

Ketika sedang melastik burung-burung itu, Tan juga terdengar dua bunyi kuat secara berturut-turut. Dia berhenti seketika namun meneruskan semula dengan melastik burung hingga kesemuanya sudah terbang pergi.

POLIS JALANKAN SIASATAN DI TEMPAT ITU

Dua pemandu di majlis perkahwinan itu kembali ke kereta masing-masing pada pukul 7.30 pagi dan menemui kesan lubang pada cermin depan dan lekuk pada kereta mereka.

Salah seorang daripada mereka menghubungi polis, yang kemudian lakukan pencarian di sekitar kawasan kejiranan itu namun tidak menemui dalangnya.

Hanya selepas satu analisis projektil dijalankan, polis dapat menentukan suspek kejadian dan mengenal pasti Tan.

Gara-gara perbuatan Tan, kos membaiki salah sebuah kereta itu berjumlah S$2,400, manakala kos kerosakan pada sebuah lagi kereta tidak dapat ditentukan kerana ia dihapuskan tanpa dibaiki.

Atas kesalahan bertindak terburu-buru hingga mengancam keselamatan orang lain, Tan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan