Skip to main content

Singapura

Lelaki dipenjara 25 tahun enam bulan, disebat 24 kali kerana rogol tiga remaja bawah umur

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 25 tahun enam bulan, disebat 24 kali kerana rogol tiga remaja bawah umur

Pemandangan bangunan Mahkamah Agung Singapura. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 27 Jul 2026 09:23PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara 25 tahun enam bulan serta 24 sebatan selepas mengaku bersalah merogol tiga remaja perempuan berusia 13 tahun.

Edmund Tan Shi Hui mengaku bersalah atas enam tuduhan merogol mangsa di bawah umur, manakala 10 lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu kesalahan itu dilakukan antara 2022 hingga 2023 selepas tertuduh berkenalan dengan mangsa menerusi platform online.

Siasatan turut mendapati dia menyimpan catatan terperinci mengenai wang yang dibelanjakan untuk mendapatkan khidmat seks daripada 17 remaja perempuan, termasuk tiga mangsa berusia 13 tahun dalam kes tersebut.

Pihak pendakwaan menyifatkan Tan sebagai seorang pemangsa seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak dengan menawarkan wang tunai sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan tersebut.

Peguam bela berhujah bahawa unsur bayaran kepada mangsa tidak seharusnya dianggap sebagai faktor yang memburukkan kesalahan kerana ia melibatkan seks komersial.

Namun, Hakim Andre Maniam menolak hujah itu.

Beliau memutuskan bahawa pemberian wang kepada mangsa untuk mendorong mereka melakukan hubungan seks merupakan faktor yang memburukkan kesalahan kerana ia menunjukkan tingkah laku bersifat pemangsa.

Hakim turut mengambil kira usia mangsa, jumlah kesalahan serta tempoh jenayah dilakukan sebelum memutuskan hukuman tersebut adalah wajar.

Bagi setiap kesalahan merogol mangsa di bawah umur, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain didenda atau disebat.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita