Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 22 minggu, pandu cuai hingga ragut nyawa penunggang motosikal dalam nahas BKE

Seorang lelaki dihukum penjara 22 minggu pada Isnin (13 Jan) kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Ekspreswe Bukit Timah (BKE).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara 22 minggu pada Isnin (13 Jan) kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Ekspreswe Bukit Timah (BKE).

Ang Yixian, 42 tahun, juga dilarang memandu selama lapan tahun, berkuat kuasa selepas dia dibebaskan dari penjara.

Ang mengaku bersalah terhadap satu tuduhan memandu tanpa pertimbangan yang munasabah kepada pengguna jalan raya lain.

Satu lagi tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Penunggang motosikal berusia 24 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, tiga hari selepas kemalangan itu berlaku.

Mahkamah diberitahu bahawa pada kira-kira pukul 9.45 pagi pada 6 November 2023, Ang sedang memandu keretanya di lorong ketiga BKE menghala ke Ekpreswe Rentas Pulau (PIE).

Pada masa yang sama, mangsa dan pemboncengnya sedang berada di lorong kedua, di bahagian depan dan kanan kereta Ang.

Siasatan menunjukkan Ang sepatutnya dapat melihat motosikal itu dengan jelas selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat saat.

Dia tidak menghidupkan lampu isyarat untuk menukar ke lorong kedua dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya, kata pihak pendakwa.

Keretanya melanggar motosikal tersebut lalu menyebabkan mangsa dan pemboncengnya terjatuh.

Ang juga hampir melanggar sebuah lagi motosikal.

Selepas kemalangan itu, Ang menghentikan kenderaannya lalu menghubungi ambulans.

Penunggang motosikal berkenaan dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan pada otaknya.

Namun, beliau meninggal dunia pada malam 9 November 2023.

Pada hari kemalangan itu berlaku, keadaan cuaca cerah, permukaan jalan raya kering, lalu lintas trafik tidak begitu sibuk dan tahap penglihatan adalah jelas, kata pihak pendakwa.

Hukuman bagi kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian adalah tempoh penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan