Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 21 tahun kerana bunuh anak perempuan 2 tahun, bakar jasad anak dalam periuk

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 21 tahun kerana bunuh anak perempuan 2 tahun, bakar jasad anak dalam periuk

Gambar fail Mahkamah Tinggi di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 19 Sep 2023 01:56PM Dikemas Kini : 20 Sep 2023 02:46PM

SINGAPURA: Lelaki yang membunuh anaknya lalu bersubahat dengan isteri untuk merahsiakannya dengan membakar jasad mangsa dalam periuk, pada Selasa (19 Sep) dijatuhi hukuman penjara 21 tahun 6 bulan dan 18 sebatan rotan.

Warga Singapura berusia 35 tahun itu tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah demi melindungi mangsa lain dalam kes ini. Identiti isteri pesalah dan lokasi pembunuhan dilakukan juga tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Hakim Aedit Abdullah bagaimanapun menekankan bahawa nama mangsa, Umaisyah, harus diterbitkan supaya kanak-kanak itu dapat diingati melalui namanya dan bukan sekadar rujukan sebagai "mangsa".

Lelaki terbabit mengaku bersalah atas satu tuduhan membunuh tanpa niat. Dia juga mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan termasuk merusuh, menganiaya anak tiri lelakinya dan mengambil sejenis dadah.

Lima tuduhan lain turut dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pesalah dan isterinya mempunyai empat anak kandung, termasuk Umaisyah yang dilahirkan pada 2011. Umaisyah berusia dua tahun enam bulan ketika dibunuh.

Isteri pesalah juga mempunyai seorang anak perempuan dan seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinan sebelumnya.

Semasa Umaisyah berusia antara tiga hingga empat bulan pada November 2011, dia diletakkan di bawah jagaan keluarga titipan kerana bapanya perlu menjalani program pemulihan dadah sementara ibunya pula didapati tidak mampu menjaganya.

Pada Jun 2013, Umaisyah dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Dia sering menangis kerana belum begitu kenal dengan ibu bapanya setelah dibesarkan selama lebih setahun oleh keluarga lain, menurut pihak pendakwa.

Mahkamah diberitahu bahawa Umaisyah didera ibu bapa kandungnya sampai mati. Bapanya diketahui memukulnya dengan barang-barang seperti tali pinggang atau penyangkut baju dan akan menumbuk paha serta mencubit tubuhnya.

Pasangan terbabit turut mendera anak mereka yang lain dengan cara yang sama.

Pada Mac 2014, tertuduh dan isterinya marah kerana Umaisyah bermain dengan najis dalam lampinnya.

Ketika kanak-kanak itu menangis "walaupun disuruh tidak berbuat demikian", ibunya menampar pipinya dan "menguis bibirnya", tambah pihak pendakwa.

Pesalah, yang mengambil dadah methamphetamine pagi itu, juga dengan kasar menampar Umaisyah sebanyak dua atau tiga kali.

Umaisyah menjadi lemah longlai dan terduduk di atas lantai. Dia akhirnya berhenti menangis tetapi kemudian mula tercungap-cungap.

Pada ketika itu, ibu mangsa mula menyedari darah sedang mengalir keluar daripada mulut dan hidung Umaisyah.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan otak teruk kerana dipukul dengan kuat sehingga sawan.

Bapanya beberapa kali cuba melakukan CPR ke atasnya tetapi Umaisyah tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Malangnya, walaupun kanak-kanak itu sudah di hujung nyawa, ibu bapanya tidak meminta bantuan atau membawanya ke hospital gara-gara takut disoal siasat tentang luka-luka pada tubuhnya.

Tertuduh juga takut dia akan diberkas kerana mengambil dadah.

Seandainya pertolongan perubatan diberikan, Umaisyah mungkin boleh diselamatkan, menurut pihak pendakwa.

CUBA HILANGKAN BUKTI

Pasangan itu, yang kini sudahpun bercerai, cuba merahsiakan perbuatan mereka dengan menghapuskan bukti dan berbohong kepada pihak berkuasa, mahupun keluarga masing-masing, tentang keberadaan kanak-kanak itu.

Pada hari Umaisyah meninggal dunia, pelaku dan isteri menyumbatnya ke dalam satu periuk besi lalu membakarnya di bahagian belakang lori pesalah.

Mereka memastikan jasad Umaisyah rentung sepenuhnya sebelum meletakkan periuk tersebut di dalam satu kotak kadbod, menutup kotak itu dengan pita penutup lalu membalutnya dengan plastik bungkus makanan (cling wrap).

Mereka menyimpan kotak itu di bawah tempat masak di dalam dapur rumah mereka.

Bapa saudara Umaisyah, yang hanya boleh dinamakan sebagai 'Z', diberi amaran supaya tidak memegang kotak itu kerana ia kononnya mengandungi barangan dari lori pesalah.

Apabila Kementerian Pendidikan menghubungi mereka pada 2017 untuk bertanya mengapa Umaisyah tidak didaftarkan ke Darjah 1, ibunya berbohong sambil mengatakan bahawa pesalah membawanya pergi setelah mereka berpisah. Tertuduh juga berbohong bahawa Umaisyah dijaga saudara-maranya di Malaysia.

Pada masa yang sama, saudara lelaki kepada ibu Umaisyah, Z, semakin curiga tentang isi kotak yang diletakkan di dapur. Beliau cuba membuangnya pada 2017 kerana ia kotor dan telur lipas kelihatan pada plastik yang digunakan untuk membalut kotak itu.

Apabila ibu Umaisyah mendapat tahu tentang perkara ini, dia membalut kotak itu dengan plastik baharu dan memberi amaran kepada Z supaya tidak memegangnya lagi.

Selepas wanita terbabit dipenjara pada 2019, Z membuka kotak itu dan ternampak satu ketulan yang sudah reput tetapi basah.

Dia kemudian menunjukkan kandungan periuk itu kepada rakan-rakan saudara perempuannya semasa mereka berkunjung ke rumah itu.

Mereka semuanya berasa tidak sedap hati dan melaporkannya kepada polis.

Tubuh kanak-kanak itu "rentung sehingga tidak dapat kenal pasti", kata pendakwa. Mahkamah diberitahu hanya cebisan tulang dan gigi ditemui semasa autopsi.

Semua ciri-ciri pada wajahnya tidak lagi ada dan kaki serta tangannya tidak dapat dikenal pasti.

Sumber : CNA/AQ/aq/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan