Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 11 minggu, kelar bekas suami adiknya dengan pisau pemotong daging

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 11 minggu, kelar bekas suami adiknya dengan pisau pemotong daging

Gambar fail sebuah koridor dengan pokok-pokok pasu di luar flat HDB. (Gambar: CNA/Shevaun Teo)

SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 11 minggu pada Selasa (1 Nov) kerana mengelar bekas suami saudara perempuannya dengan sebilah pisau pemotong daging, setelah menyangka bahawa mangsa memetik sebiji buah daripada pokok dalam pasu miliknya.

Pong Yoke Long, 56 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas adik iparnya, yang berusia 49 tahun.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa bercerai dengan adik Pong lebih dua tahun sebelum kejadian tersebut.

Namun Pong dan adiknya itu terus tinggal di flat mangsa di Bedok.

Selepas adiknya bercerai, hubungan Pong dan mangsa menjadi buruk.

Mereka sering kali bertengkar tentang pokok pasu masing-masing yang diletakkan di luar flat HDB itu di tingkat 10.

Pada pagi 10 Mei tahun ini, Pong mendapati sebiji buah yang tumbuh di salah satu tumbuhannya hilang, lalu menyangka bahawa mangsa sengaja mengambil buah tersebut.

Dia dikatakan telah minum minuman keras sebelum itu di kedai kopi berdekatan.

Pong mengambil sebilah pisau dari dapur lalu mengelar mangsa yang sedang duduk di ruang tamu.

Mangsa dibawa ke hospital dengan kesan luka pada lengan dan pahanya.

Dia dibenarkan pulang pada hari yang sama dan diberi cuti sakit sembilan hari.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja, Pong boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan