Lelaki dipenjara 10 minggu, palsukan surat dibuang kerja untuk dapat Geran Bantuan COVID-19
Dia berhenti kerja secara sukarela, namun palsukan surat konon dibuang kerja untuk cuba dapatkan agihan S$800 sebulan.

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki secara sukarela meletak jawatan dari kedai muzik Davis Guitar Music Center pada Julai tahun lalu kerana tidak puas dengan pekerjaan itu.
Namun, dia ingin melayakkan diri untuk menerima bayaran bulanan sehingga S$800 di bawah Geran Bantuan COVID-19 yang diumumkan Pemerintah. Maka itu Benny Ong Hong Beng memalsukan surat pemberhentian kerja yang menyatakan dia terpaksa dibuang kerja kerana pandemik COVID-19.
Skim sokongan kewangan tersebut, bertujuan untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan atau pendapatan atas sebab-sebab berkaitan dengan keadaan COVID-19, diumumkan pada 26 Mac tahun lalu sebagai sebahagian Belanjawan Berdaya Tahan untuk menangani kesan ekonomi dan sosial akibat COVID-19.
Ong, 44 tahun, mengaku bersalah pada Khamis (1 Jul)atas satu dakwaan memalsukan dokumen dan dijatuhi hukuman penjara 10 minggu.
Mahkamah diberitahu bahawa Ong mendapat tahu tentang geran itu setelah berhenti kerja dan dia pergi ke Pejabat Khidmat Sosial Bukit Panjang pada 16 Julai untuk membuat permohonan.
Untuk menyokong permohanan tersebut, dia menyerahkan surat palsu, yang menunjukkan kepala surat palsu Davis Guitar Music Centre.
Dia menulis: "Disebabkan pandemik COVID-19 dan sekitaran perniagaan yang mencabar baru-baru ini, kami dengan berat hati memutuskan bahawa awak diberhentikan kerja.
"Tempoh pekerjaan anda akan tamat pada 9 Julai 2020 dan kami mengucapkan yang terbaik buat masa depan anda."
Ong kemudian memasukkan nama majikannya, seseorang bernama Janet Chiang, di bahagian bawah surat supaya kelihatan seolah-olah wanita itu yang menulis surat tersebut, dan menandatangan setelah mencetaknya.
Helah Ong terbongkar apabila MSF menghubungi Cik Chiang selepas itu dan wanita tersebut membuat aduan polis.
Sekiranya helah Ong berjaya, dia akan menerima agihan berjumlah S$2,400 kesemuanya selama tiga bulan.
Semasa merayu hukuman penjara yang lebih ringan bagi Ong, peguam belanya, Encik Just Wang dari Bird & Bird LLP, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya melakukan kesalahan itu kerana "tekanan kewangan dan keadaan terdesak", dan bukan didorong oleh sikap gelojoh atau mengambil kesempatan.
Menurut Encik Wang, Ong telah mengambil pinjaman dari United Overseas Bank dan menghadapi risiko gagal membuat bayaran kerana dia tidak dapat mencari pekerjaan alternatif selama pandemik itu.
Encik Wang menambah bahawa walaupun tidak dapat dibuktikan, Ong ingin menarik balik permohonannya bagi geran tersebut, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk melakukan demikian.
Ong juga menyangka permohonan itu akan ditolak dan jika ia diluluskan, dia bercadang untuk mengembalikan wang itu, kata Encik Wang.
Ong boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atas kesalahan melakukan pemalsuan untuk tujuan menipu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.