Lelaki dilanggar kereta api dekat stesen MRT Kallang berniat bunuh diri: Koroner
Koroner negara memutuskan bahawa seorang lelaki berusia 31 tahun, yang dilanggar oleh sebuah kereta api dan ditemui mati di landasan kereta api sekitar 150 meter dari stesen MRT Kallang pada tahun lalu, berniat untuk membunuh diri.

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Koroner negara memutuskan bahawa seorang lelaki berusia 31 tahun, yang dilanggar oleh sebuah kereta api dan ditemui mati di landasan kereta api sekitar 150 meter dari stesen MRT Kallang pada tahun lalu, berniat untuk membunuh diri.
Pada hari dia meninggal dunia, Ahmed Faisal, seorang rakyat Bangladesh, dijadual menerima keputusan mahkamah setelah dibicarakan atas tuduhan mengambil dadah.
Dia juga diberkas sekali lagi beberapa hari sebelum itu dan diuji positif bagi dadah terkawal.
Koroner Negara Adam Nakhoda mendedahkan dalam hasil siasatannya yang dikeluarkan pada Selasa (25 Jan), jika Faisal disabit kesalahan bagi kedua-dua kes, dia mungkin akan meringkuk lebih lama dalam penjara dan diusir dari Singapura.
Apabila dia dilanggar oleh kereta api, dia baru sahaja mengambil dadah methamphetamine dan eutylone, kedua-duanya dadah terkawal. Punca kematiannya adalah pelbagai kecederaan teruk akibat dilanggar kereta api.
"Ada kemungkinan bahawa prospek dijatuhi hukuman penjara, selain daripada kesunyian dan kerinduan kepada kampung halamannya menyebabkan Encik Faisal memutuskan untuk membunuh diri," kata Koroner Negara Nakhoda.
Kejadian itu yang berlaku sekitar pukul 9.00 malam pada 25 Februari tahun lalu, mencetuskan gangguan khidmat kereta api antara stesen Bugis dengan Aljunied. Kedua-dua stesen Kallang dan Lavender ditutup pada malam itu.
Mahkamah koroner diberitahu perincian tentang bagaimana Faisal dapat masuk ke laluan kereta api yang menghala ke arah timur, yang merupakan sebahagian daripada Laluan Timur-Barat, di mana landasan kereta api itu beralih daripada landasan darat ke bawah tanah. Ini dikenali sebagai pintu masuk terowong atau portal.
Para pegawai polis mendapati kawat berduri di atas pagar di bahagian laluan timur barat itu ditolak ke bawah, di mana setiap kawat berduri itu dimampatkan bersama.
Faisal memanjat pagar lalu menolak kawat berduri itu dengan "kuasa secukupunya" dan memanjat ke landasan kereta api menerusi cara tersebut, dedah polis.
Sepasang selipar berwarna coklat dan pelitup pembedahan ditemui di sekitar kawasan pagar itu, di mana anjing polis K9 menjejakinya kepada mayat Faisal.
Menyusuli kematiannya, gegelung wayar diletakkan pada jejambat landasan bagi menghalang sebarang pencerobohan seterusnya.
KESALAHAN DADAH
Pada November 2018, Faisal ditahan di satu sekatan jalan raya dan didakwa mengambil methamphetamine dan norketamine.
Dia terus bekerja di HCH General Services sehingga permit kerjanya tamat setahun kemudian, di mana selepas itu dia terus berada di Singapura di bawah pas khas.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengeluarkan pas-pas khas bagi membenarkan warga asing untuk tinggal di Singapura atas tujuan khusus, seperti untuk membantu dalam siasatan dan menghadiri perbicaraan mahkamah.
Adik lelakinya, Encik Hasan Md Mehedi memberitahu mahkamah koroner bahawa Faisal bekerja sambilan ketika memegang pas khas itu. Encik Hasan kadangkala membantu untuk bayar sewa bulanan abangnya di sebuah unit kondominium.
Faisal dibicarakan atas kesalahan mengambil dadah dan dijadual hadir di Mahkamah Negara pada 25 Februari tahun lalu untuk menerima keputusan mahkamah.
Namun dia tidak hadir dan satu waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
TINGKAH LAKU ANEH
Pada 24 Februari tahun lalu, Faisal berjumpa dengan seorang teman - Encik Darren Lee - yang berkongsi minat kepada alat mobiliti peribadi dan datang ke rumahnya. Encik Lee berkata bahawa Faisal berkelakuan aneh pada ketika itu dan dia termenung jauh dan tidak berkata apa-apa kepada Encik Lee.
Pada keesokan pagi, iaitu hari di mana Faisal sepatutnya ke mahkamah, Encik Lee mendapati bahawa dia merenung pada satu lukisan dalam bilik tamu sambil berkata-kata sendirian.
Encik Hasan menghubungi Faisal beberapa kali sebelum Faisal menjawab panggilannya dan memberi jaminan kepada adiknya bahawa dia akan hadir ke mahkamah.
Encik Hasan menaiki teksi ke Mahkamah Negara dan menantikan ketibaan Faisal, namun dia tidak datang.
Pada malam itu, pengendali kereta api MRT yang dalam perjalanan dari Lavender ke stesen MRT Kallang baru sahaja keluar daripada terowong apabila beliau terdengar bunyi dentuman yang kuat daripada bahagian bawah kereta api.
Pengendali kereta api itu menekan brek kecemasan lalu melaporkan kejadian itu kepada ketua pengawal SMRT yang memantau Laluan Timur-Barat.
Kemudian, seorang pengendali kereta api melihat apa yang beliau rasa adalah tangan manusia pada bahagian tengah landasan dan beliau melaporkan hal itu kepada ketua stesen di Stesen MRT Lavender.
Koroner Negara Nakhoda menarik perhatian bahawa bukti itu menunjukkan "kesimpulan yang tidak boleh disangkal" bahawa Faisal membunuh diri, sambil menambah: "Saya tidak fikir bahawa bukti ini menyokong, dalam apa juga cara sekalipun, kesimpulan bahawa dia secara tidak sengaja mendapati dirinya berada di landasan MRT dan dilanggar oleh sebuah kereta api."
Menurutnya lagi, Faisal berkelakuan aneh beberapa hari dan jam sebelum kematiannya dan ia sesuatu yang luar biasa bahawa dia boleh terlepas daripada menghadiri perbicaraan mahkamah.
Dalam memberi kesimpulan dapatannya, koroner itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Faisal atas kehilangan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.