Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikenakan latihan pemulihan; jual akaun Singpass bagi lunas sebahagian hutang, curi basikal di Bukit Batok

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas gagal melunaskan hutangnya, Ng Zheng Quan bersetuju untuk memberi butiran Singpassnya kepada pemiutang, supaya S$1,000 daripada hutangnya dikira sebagai sudah dilunaskan.

Dengan butiran Singpass itu, pemiutang tersebut kemudian membuka dua akaun bank yang digunakan untuk menerima S$341,593.40 daripada hasil penipuan selama seminggu.

Dalam satu lagi insiden berasingan, Ng mencuri dua basikal yang dikunci di tempat letak basikal sebuah blok perumahan awam di Bukit Batok.

Pada Rabu (31 Jul), lelaki 21 tahun itu dijatuhi hukuman latihan pemulihan bagi tempoh tahanan minimum selama 12 bulan. Tujuh lagi tuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Ng mengaku bersalah atas empat tuduhan:
  • Satu tuduhan sengaja memberi kata laluan Singpass bagi tujuan menyalahi undang-undang
  • Satu tuduhan melakukan perbuatan nakal
  • Dua tuduhan mencuri
Mahkamah diberitahu bahawa Ng mengambil hutang daripada seorang individu yang tidak dikenali, yang hanya dikenali sebagai "Brandon" dalam dokumen mahkamah, pada Mac tahun lalu.

Jumlah yang dipinjam Ng tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Apabila Ng tidak dapat melunaskan hutangnya, Brandon membuat tawaran pada Mac tahun lalu. Jika Ng menyerahkan butiran Singpassnya, termasuk ID log masuk dan kata laluan, Brandon akan melunaskan S$1,000 daripada jumlah yang dihutang.

Ng bersetuju dan memberi butiran Singpassnya kepada Brandon.

Dengan butiran tersebut, Brandon membuka dua akaun bank, iaitu Standard Chartered dan CIMB.

Selama seminggu, dua akaun itu digunakan untuk menerima S$341,593.40 daripada hasil penipuan.

Sebanyak 18 aduan polis mengenai penipuan dibuat terhadap dua akaun tersebut.

POTONG MANGGA KUNCI, CURI BASIKAL DI BUKIT BATOK

Ng juga mencuri dua basikal dalam insiden berasingan pada Januari tahun lalu.

Pada 5 Januari, Ng ingin berbasikal ke rumah teman wanitanya di Queenstown, dan rakannya bersetuju untuk menemaninya.

Sedang mereka melepasi Blok 293A di Bukit Batok Street 21, Ng mencadangkan kepada kawannya untuk mencuri sebuah basikal supaya mereka dapat berbasikal bersama. Rakannya setuju untuk melakukan demikian.

Kira-kira pukul 1.25 pagi pada 6 Januari, mereka tiba di Blok 293D di Bukit Batok Street 21.

Mereka menemui sebuah basikal B'twin Triban berharga S$700, yang dikunci di tempat letak basikal.

Ng kemudian memotong mangga kunci basikal tersebut dan memindahkannya dari rak basikal.

Pada masa yang sama, rakan Ng memberitahunya tentang sebuah basikal Lampo berharga S$699, yang tidak dikunci dengan betul. Mereka kemudian memotong mangga kunci basikal tersebut.

Ng menggunakan basikal Lampo, manakala basikal B'twin Triban itu ditinggalkan, dengan rakannya menggunakan satu lagi basikal yang dipinjam Ng.

Pada 7 Januari, pemiliki basikal B'twin Triban itu membuat aduan polis mengenai basikalnya yang hilang. Pada hari berikut, seorang lagi individu membuat aduan polis mengenai basikal Lampo anak lelakinya yang hilang.

Bagi kesalahan melakukan perbuatan nakal, Ng boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Bagi setiap tuduhan mencuri, Ng boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan