Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikenakan 18 bulan probesen kerana buat kenyataan anti-Islam di Instagram

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki 21 tahun dikenakan 18 bulan probesen pada Khamis (23 Jun) kerana membuat kenyataan menyinggung perasaan umat Islam dan masyarakat Islam, termasuk ancaman keganasan di Instagram yang kemudiannya tular.

Sun Sicong, seorang Penduduk Tetap Singapura (PR) yang berasal dari China juga memuat naik petikan gambar seorang mangsa yang dirogol yang menceritakan pengalaman pahit beliau dan kemudian menulis komen-komen yang menyinggung perasaan.

Mahkamah mendapati bahawa catatan tersebut mendorong orang awam untuk membuat 62 aduan polis terhadapnya.

Sun mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan dengan niat yang sengaja untuk melukakan perasaan penganut agama tersebut.

Lagi dua tuduhan yang tidak bersangkut paut dengan tuduhan pertama turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Sebagai sebahagian daripada syarat probesen, Sun harus kekal berada di rumah daripada pukul 10.00 malam hingga 6.00 pagi dan melakukan 60 jam khidmat masyarakat.

Ibu bapanya mengikat jamin S$5,000 bagi memastikan tingkah lakunya baik semasa probesen.

Ketika itu tertuduh adalah seorang penuntut di Politeknik Temasek. Sun sudah digantung selama dua penggal berturut-turut menyusuli siasatan yang dijalankan pada Jun 2020.

Dalam menjawab soalan daripada Mediacorp, seorang jurucakap daripada sekolah itu pada Khamis (23 Jun) mengatakan bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan disiplin selanjutnya terhadap Sun.

Mahkamah mendapati bahawa pada 2018 dan 2019, Sun memuat naik komen-komen yang menyinggung umat Islam melalui beberapa Instagram Stories.

Instagram Stories Sun termasuk kenyataan yang menyuarakan keganasan terhadap masyarakat Islam dan menghina kepercayaan orang Islam, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Senthilkumaran Sabapathy di mahkamah.

"Tertuduh memuat naik (catatan yang menyinggung perasaan), yang antara lain, melibatkan ancaman keganasan yang serius terhadap umat Islam, ancaman membakar al-Quran dan menghina ajaran Islam, yang boleh dilihat oleh para pengguna Instagram, termasuk pengguna Muslim, dengan tujuan untuk melukakan perasaan umat Islam dengan sengaja,” kata DPP Senthilkumaran.

Mereka yang disabit kesalahan membuat kenyataan dengan niat yang sengaja untuk menyinggung atau melukakan perasaan penganut agama lain, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan