Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikena probesyen; upah penggodam cuba akses akaun emel bekas kekasih

Seorang lelaki berusia 20 tahun mengupah kenalannya dari wadah permainan online RuneScape untuk membantunya menggodam akaun-akaun emel milik lelaki-lelaki yang terkait dengan bekas temanitanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dikena probesyen; upah penggodam cuba akses akaun emel bekas kekasih

RuneScape adalah sebuah permainan komputer. (Gambar: RuneScape/Facebook)

Diterbitkan : 23 Sep 2020 08:47AM Dikemas Kini : 23 Sep 2020 08:48AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 20 tahun mengupah kenalannya dari wadah permainan online RuneScape untuk membantunya menggodam akaun-akaun emel milik lelaki-lelaki yang terkait dengan bekas temanitanya. Dia kemudian mengancam salah seorang mangsa menggunakan petikan skrin akaunnya yang digodam.

Atas dua tuduhan menghasut orang lain untuk mendapatkan akses yang tidak diluluskan kepada bahan komputer dan satu tuduhan dengan sengaja menyebabkan rasa cemas dengan menghantar komunikasi yang bertujuan untuk menakut-nakutkan, Lee See Hao pada Selasa (22 Sep) dikenakan satu tahun probesyen.

Empat lagi tuduhan turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Lee, yang kini berusia 24 tahun, juga perlu melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 50 jam dan tinggal bersama ibunya sepanjang tempoh probesyen. Ibu Lee membayar bon S$5,000 untuk memastikan anaknya itu berkelakuan baik.

Mahkamah diberitahu bekas temanita Lee memberikannya akses kepada akaun emelnya ketika mereka masih lagi bersama. Apabila mereka putus hubungan pada 2016, bekas temanita itu meminta bantuan daripada seorang rakan untuk menukar 'setting' keselamatan emelnya kerana beliau tidak mahu Lee mengakses akaunnya lagi.

Apabila Lee tidak dapat mengakses akaun itu, dia menyedari bahawa mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun, membantu bekas temanitanya menukar setting keselamatannya.

Pada 10 September 2016, Lee menghantar mesej kepada seorang pengguna Skype yang dikenali sebagai Jake. Dia mengenali lelaki itu menerusi permainan online, RuneScape.

Setelah mengetahui bahawa Jake boleh menggodam akaun online, dia menawarkan 60 juta syiling dalam RuneScape kepada Jake untuk membantunya menggodam akaun mangsa.

Jake bersetuju dan mengakses akaun emel mangsa, mengambil dua petikan skrin peti emel (inbox) dan menghantarkannya kepada Lee.

Lee kemudian menghantar petikan-petikan skrin tersebut kepada mangsa dan mengancamnya.

Mangsa berasa cemas dan menukar kata laluan emel serta setting keselamatannya sebelum membuat aduan polis.

Lewat bulan September 2016, Lee mendapat tahu bahawa bekas temanitanya mula berpacaran dengan seorang lelaki berusia 21 tahun.

Dia naik berang dan menghubungi Jake sekali lagi, menawarkan lelaki tersebut lagi 60 juta syiling RuneScape untuk mendapatkan kata laluan baru bagi emel mangsa.

Jake bersetuju dan menggodam akaun emel mangsa kedua itu untuk memberikan Lee kata laluannya.

Lee menggunakan maklumat dalam akaun emel itu untuk mengakses akaun-akaun media sosial mangsa di Facebook serta Instagram sebelum menukar semula kata laluan Facebook dan memadamkan akaun Instagram mangsa.

Apabila mangsa menyedari apa yang berlaku, beliau membuat aduan polis. Beliau mengesyaki Lee sebagai dalangnya kerana Lee sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap hubungan mangsa dengan bekas temanitanya.

Lee kemudian dikenal pasti dan peralatannya dirampas. Dia berkata Jake bukan dari Singapura dan dia tidak tahu bagaimana unutk menjejakinya.

Bagi jenayah komputer, Lee boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan