Lelaki dikejarkan ke hospital selepas bertembung pengayuh basikal di Upper Thomson Road

Sekumpulan pengayuh basikal di sebelah kumpulan Andy Oh dan Serlina Eng di Upper Thomson Road pada 16 April 2023. (Gambar: Serlina Eng/Facebook)
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada pukul 6.40 pagi.
SPF menyatakan, insiden itu melibatkan dua pengayuh basikal di Upper Thomson Road menghala ke Sembawang Road dan seorang lelaki, 49 tahun, dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dalam keadaan sedarkan diri.
Polis sedang menjalankan siasatan.
Dalam satu hantaran ke Facebook pada Ahad malam, seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai isteri kepada lelaki yang cedera itu, berkata, "sekumpulan pengayuh basikal gila" punca pertembungan dengan suaminya, Encik Andy Oh.
Cik Serlina Eng berkata, kumpulan itu membiarkan "ego mengawal diri mereka", tidak mengendahkan keselamatan orang lain dan mengayuh meskipun mendengar teriakan daripada kumpulan pengayuh basikalnya.
"Tidak mengendahkan keselamatan orang lain atau berhenti apabila mendengar bunyi pertembungan. Dan percayalah saya, pengayuh basikal boleh mendengar pertembungan dari jauh lagi, ia adalah bunyi yang tidak diinginkan," tulisnya.
Selain hantaran Facebook beliau, terdapat video yang menunjukkan apa yang berlaku sebelum nahas itu dan insiden tersebut. Rakaman itu dirakam oleh kamera yang dipasang pada bahagian belakang basikal Encik Oh.
Kumpulan Cik Eng dan Encik Oh dilihat berbasikal sebelum sebuah kumpulan lain dengan sekurang-kurangnya sembilan lagi pengayuh tiba di sebelah mereka.
Pertembungan tersebut berlaku sejurus selepas itu dan teriakan kedengaran apabila Encik Oh jatuh ke jalan raya.
Rakan-rakannya kemudian berhenti di tepi jalan di perhentian bas laluan keluar 3 di Stesen MRT Springleaf untuk membantunya dan menghubungi ambulans.
Kumpulan pengayuh basikal yang lain bagaimanapun tidak berhenti selepas insiden itu berlaku.
Setakat Ahad Malam, Cik Eng berkata, suami beliau mengalami "pendarahan pada bahagian otak" yang akan "dipantau rapi".
"Keretakan pinggul dan siku yang pada awalnya disyaki, tidak berlaku. Nasib baik kami berbasikal dengan rakan kami dan mereka ada untuk membantu."
Tambah Cik Eng, pengayuh basikal yang terlibat dalam pertembungan itu sudah menghubunginya setelah seorang rakan memuat naik catatan mengenai insiden itu di Facebook.
Mediacorp sudahpun menghubungi Cik Eng untuk maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.