Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikehendaki AS dengan ganjaran AS$5 juta 'ada di SG': SPF

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan Singapura yang mana Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$5 juta untuk maklumat mengenainya kini berada di Singapura dengan pasportnya dirampas.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan Kwek Kee Seng berada di Singapura sejak 28 April 2021, dan disiasat Jabatan Ehwal Komersil (CAD) bagi kesalahan di bawah Akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Singapura 2001.

"Pasport Kwek dirampas CAD sejak tarikh yang sama," tambah SPF.
ADUAN JENAYAH OLEH JABATAN KEHAKIMAN AMERIKA SYARIKAT

Menurut SPF, pada 23 April 2021 Jabatan Kehakiman AS mengumumkan bahawa aduan jenayah difailkan terhadap Kwek kerana didakwa bersubahat untuk mengelak sekatan ekonomi terhadap Korea Utara selain pengubahan wang haram.

SPF menambah bahawa kapal tangki Courageous (sebelumnya dikenali sebagai Sea Prima) dirampas. Kapal Courageous didakwa dibeli oleh Kwek untuk membuat penghantaran haram produk petroleum melalui pemindahan kapal ke kapal dengan kapal Korea Utara serta penghantaran langsung ke pelabuhan Nampo di Korea Utara.

SPF memulakan siasatan rasmi terhadap Kwek pada 28 April 2021 di bawah Seksyen 5 di bawah Akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2001.

Pada 29 April tahun yang sama, SPF mengeluarkan kenyataan media yang mengesahkan Kwek disiasat atas kemungkinan kesalahan di bawah Akta berkenaan.

Pada keesokan harinya, SPF berkongsi maklumat siasatan terhadap Kwek dengan pihak penguatkuasaan undang-undang AS melalui surat.

Maklumat itu diserahkan secara rasmi oleh Singapura kepada beberapa agensi AS melalui nota pihak ketiga pada 7 Mei 2021.

Sejak itu, ada beberapa lagi pertukaran maklumat, menurut SPF sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan kerana "bentuk kes itu dan kerumitannya".

SPF menambah bahawa pihaknya menulis kepada rakan sejawatannya di AS pada 4 November 2022 untuk mendapatkan penjelasan, memandangkan ia sudah " berkomunikasi secara aktif" dengan rakan sejawatannya di AS mengenai kes Kwek.

"Singapura akan terus membantu pihak berkuasa AS di bawah undang-undang kami dan kewajipan antarabangsa."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan