Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikecam kerana aniaya kucing dalam video tular tampil mohon maaf

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki mendapat kecaman masyarakat setelah beberapa video dimuat naik ke Instagram menunjukkan lelaki itu melakukan aksi melampau terhadap seekor kucing.

Video tular itu menunjukkan lelaki tersebut menghayunkan kucing itu dengan menggunakan ekornya, melemparkan haiwan berkenaan ke udara dan memusingkan kucing tersebut dengan laju sehingga kepalanya terhantuk di kerusi.

Lelaki yang dikenal pasti sebagai Jimmy Wong telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai atas tindakannya itu. Dia mendakwa "tidak berniat" untuk menganiaya kucing itu dan tidak sedar aksinya "bermain dengan kucing" dengan cara sedemikian berisiko mencederakan haiwan tersebut.

Dalam video pertama yang dimuat naik pada 28 September, Wong dilihat sedang menghayunkan kucing Parsi bernama Pidan dengan haiwan itu meraung.

Video berdurasi pendek hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik ke akaun rasmi Instagram kucing itu, "pidanlee".

Dalam kapsyen video berkenaan, pemilik akaun yang dipercayai adalah pemilik Pidan serta bekas teman wanita Wong, berkata lelaki itu tidak ada hati perut terhadap haiwan.

Menurut wanita itu, dia juga telah membuat satu laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
.
Video itu meraih lebih daripada 163,000 tontonan dengan ramai pengguna mengecam tindakan Encik Wong sebagai "menjijikkan" dan "mengerikan" sambil menggesa pemilik kucing itu melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Sekitar seminggu kemudian pada 7 Oktober, video Wong memusing Pidan dengan laju dimuat naik ke akaun yang sama.

Satu lagi video menunjukkan Wong mencampak Pidan ke udara sebelum menghayun haiwan itu dikeluarkan pada hari yang sama.

Susulan kontroversi itu, Wong memuat naik hantaran ke Instagram pada Sabtu (8 Okt) untuk memohon maaf dan menjelaskan tuduhan yang dibuat terhadapnya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke akaun “datojimmywong” pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sains Kewangan JF Lennon itu memohon maaf kepada semua pencinta haiwan.

Tambahnya, dia akur akibat daripada tindakannya itu dan memohon orang ramai supaya berhenti menghantar kecaman serta ugutan kepada keluarganya.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan