Skip to main content

Singapura

Lelaki dikaitkan dengan video pijak al-Quran diberkas atas kes berasingan hina umat Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dikaitkan dengan video pijak al-Quran diberkas atas kes berasingan hina umat Islam

Lelaki yang diberkas oleh polis SG selepas diusir dari Malaysia pada 6 Ogos 2026. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 09:35PM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 27 tahun yang dikaitkan dengan video tular menunjukkan seseorang memijak al-Quran di atas bas awam akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (7 Ogos) atas kes berasingan melibatkan perbuatan menghina umat Islam.

Lelaki itu ditangkap pada Khamis selepas diusir dari Malaysia.

Dia dituduh memuat naik video dirinya di media sosial yang mengandungi kenyataan menghina dan kesat terhadap masyarakat Islam di Singapura.

Polis menyatakan mereka menerima aduan mengenai lelaki itu pada 1 Mac, tetapi dia sudah pun meninggalkan Singapura sebelum laporan itu dibuat.

"Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia, lelaki itu telah diusir dari Malaysia pada 6 Ogos 2026, dan ditangkap oleh polis sebaik sahaja dia tiba di Singapura pada hari yang sama," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

Dia akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menghina agama orang lain. Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Polis menyatakan lelaki itu juga sedang membantu siasatan berhubung insiden melibatkan video yang menunjukkan seseorang memijak Al-Quran di atas bas.

Pada 7 Mac, polis mengeluarkan lima Arahan Sekatan di bawah Akta Bahaya Jenayah Online kepada Meta untuk menyekat akses kepada kandungan yang menyinggung perasaan itu bagi pengguna di Singapura.

Menurut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, lelaki yang dikaitkan dengan video memijak Al-Quran itu kemungkinan orang yang sama yang pernah memuat naik video serupa sebelum ini.

Dia pernah didakwa dan disabitkan kesalahan pada Julai tahun lalu, lalu dipenjarakan sebelum dibebaskan pada bulan Disember.

"Semasa dia disabitkan kesalahan pada Julai tahun lalu, terdapat beberapa bukti menunjukkan dia mengalami masalah kesihatan mental," kata Encik Shanmugam kepada wartawan pada Mac.

Polis pada Khamis menegaskan bahawa mereka memandang serius sebarang perbuatan yang mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.

"Sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan atau bertindak dalam cara yang boleh menimbulkan permusuhan, kebencian, niat jahat, atau penentangan antara kumpulan kaum atau agama yang berbeza di Singapura akan ditindak dengan pantas dan tegas mengikut undang-undang," tambah polis.
Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita