Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel upah orang serang mantan AP Chan Soo Sen

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel upah orang serang mantan AP Chan Soo Sen

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara lebih setahun dan empat bulan serta didenda S$20,000 pada Isnin (9 Mei) atas kesalahan termasuk mengaturkan serangan ke atas mantan Anggota Parlimen (AP) Chan Soo Sen.

Khoo Tsu Peng, 68 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap satu kerana bersubahat untuk sengaja menyebabkan kecederaan teruk, bersubahat untuk sengaja menyebabkan kecederaan dan perjudian jarak jauh. Satu lagi tuduhan juga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Encik Chan, 65 tahun, adalah AP Parti Tindakan Rakyat bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast dan kemudian AP Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Joo Chiat dari 1997 hingga 2011.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar Oktober 2019, seorang lelaki bernama Ho Soo Foong memberitahu Khoo bahawa dia ingin memberi pengajaran kepada Encik Chan dengan mengupah orang untuk menyerangnya.
Bahkan, dia bersedia membayar duit upah lima angka.

Ho memberitahu Khoo bahawa dia sangat marah kerana mengesyaki anak perempuannya, atau anak perempuan kawannya, menjalin hubungan sulit dengan Encik Chan.

Malah, Ho mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa, tetapi tidak mendedahkan perkara tersebut kepada Khoo kerana berasa malu, menurut dokumen mahkamah.

Khoo menawarkan tugas itu kepada Mohd Ali Osman, 59 tahun, yang bersetuju untuk melakukannya dengan bayaran S$25,000.

Ali kemudian mendapatkan seorang lagi subahat, Muhammad Raimi Saharudin, 30 tahun, dengan memberitahu lelaki muda itu bahawa dia akan dibayar jika melontar serbuk cili dan mematahkan kaki mangsa.

Ali juga memberitahu Raimi bahawa Encik Chan biasanya akan naik bas di perhentian bas di Pasir Panjang Road dan kedua-dua lelaki itu pergi ke sana untuk meninjau kawasan tersebut.

Pada petang 26 Disember 2019, Ali menelefon Raimi dan menyuruhnya pergi ke perhentian bas berkenaan. Dengan membawa sebatang kayu, Raimi bergegas ke sana dengan menunggang motosikal dan menunggu Encik Chan.

Hampir tengah malam, Encik Chan turun dari bas dan Raimi menghampiri Encik Chan lalu melempar sebungkus serbuk ke arahnya. Dia kemudian memukul belakang Encik Chan dengan sebatang kayu selama beberapa kali menyebabkan mangsa rebah.

Setelah itu, Raimi menjerit: "Kau tahu apa yang kau telah lakukan." Dia kemudian menunggang motosikalnya, berhenti di stesen minyak untuk membuang batang kayu itu.

Pada keesokan hari, Ali memberitahu Khoo dan Ho semuanya sudah selesai. Ho membayar Ali S$20,000 dengan Raimi menerima S$3,000 daripada wang upah itu.

Ho tidak membayar baki S$5,000 kerana "tidak berpuas hati selepas polis memulakan siasatan terhadapnya", menurut dokumen mahkamah.

Encik Chan membuat laporan polis pada malam serangan itu. Beliau cedera di bahagian siku dan lutut kiri serta di bahagian belakang.

Mereka yang didapati bersalah bersubahat untuk melakukan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda dan dirotan. Khoo tidak boleh dirotan kerana sudah berusia 50 tahun.

Mereka yang bersalah bersubahat untuk melakukan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan