Lelaki dijel, ugut muat naik video bogel bekas temanita untuk lepas bayar hutang

(Gambar: Adrianna Calvo/Pexels)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun pada Selasa (7 Jun) dikenakan hukuman penjara selama 12 minggu kerana mengugut untuk memuat naik video bogel bekas teman wanitanya supaya tidak perlu membayar balik hutang.
Identiti lelaki itu tidak boleh didedahkan bagi melindung identiti mangsa yang berusia awal 20-an tahun.
Lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar dan video intim wanita itu tanpa izinnya.
Pasangan itu menjalin hubungan dari 2018 hingga 2021. Sehingga mereka berpisah tahun lalu, mangsa sering meminjamkan wang kepada lelaki itu untuk membayar hutangnya.
Pada Julai tahun lalu, lelaki itu bersetuju untuk membayar balik wang mangsa secara beransur-ansur dalam bentuk bayaran bulanan. Menurut mangsa, lelaki itu berhutang lebih S$12,700 setakat Disember tahun lalu.
Pada 10 Disember 2021, mangsa mengirimkan mesej kepada lelaki itu mengenai bayaran bulanan yang belum dilunaskan. Mereka mula bertengkar dan lelaki itu berkata, dia tidak akan membayar lagi wang mangsa.
Lelaki itu mengugut untuk memuat naik gambar dan rakaman mangsa dalam keadaan bogel dan separuh bogel jika wanita itu membuat sebarang catatan online mengenainya.
Pihak pendakwa memohon hukuman penjara tiga hingga empat bulan, dengan berhujah bahawa lelaki itu berniat jahat semasa melakukan kesalahan itu dan ia merupakan percubaan untuk memeras ugut mangsa untuk tidak lagi menuntut hutangnya.
Lelaki itu boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.