Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel susuli insiden langgar lari di BKE, sebabkan penunggang motosikal maut

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki memandu pada kelajuan 141 kilometer sejam di ekspreswe apabila dia bergeser dengan sebuah motosikal di lorong paling kanan, menyebabkan penunggang pemboncengnya terjatuh.

Namun, dia tidak berhenti. Malah, pemandu bernama Pua Yui Loon itu melarikan diri ke Johor Bahru di mana dia menetap.

Penunggang motosikal berusia 22 tahun, Joshua Chiam Chee Wai, meninggal dunia di tempat kejadian dan Pua diberkas pada keesokan harinya apabila dia kembali ke Singapura.

Pua, rakyat Malaysia berusia 28 tahun, dipenjara tiga tahun dan 10 bulan pada Selasa (10 Sep). Dia juga dikenakan larangan memandu selama 10 tahun, iaitu tempoh minimum wajib atas kesalahan memandu secara berbahaya pada kelajuan tinggi. Dia mengaku bersalah atas kesalahan tersebut.

Lagi lima tuduhan serupa dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu Pua merupakan juruwang di sebuah bar di Singapura.

Dia memandu ke Singapura pada 5 Februari 2024 untuk bertugas semalam dan dipelawa minum arak.

Selepas bar itu ditutup pada awal pagi 6 Februari, Pua menumpangkan seorang rakan sekerja ke Paya Lebar sebelum pulang melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Sedang dia memandu di Ekpreswe Bukit Timah (BKE) menghala ke Woodlands, Pua mencecah "kelajuan tinggi" di lorong paling kanan.

Dia nampak Encik Chiam dan teman wanitanya di hadapannya dan memperlahankan sedikit keretanya.

Namun, Pua kemudian memecut dan melepasi motosikal tersebut pada sebelah kanannya.

Kereta Pua bergeser dengan bahagian kanan motosikal itu, menyebabkannya terjatuh. Kedua penunggang dan pembonceng juga terjatuh.

Pua kemudian terus memecut. Insiden itu dirakam oleh dua kamera dalam kereta lain di kawasan yang sama.

Teman wanita Encik Chiam melihat tubuh Encik Chiam terkulai dan memanggilnya. Namun, tiada respons dan beliau tidak sedarkan diri. Wanita berkenaan tidak dapat menghampiri Encik Chiam kerana beliau juga cedera.

Encik Chiam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala teman wanitanya dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Pua memandu ke rumahnya di Johor Bahru.

Pada 7 Februari, Pua menaiki kereta sewa privet ke pusat pemeriksaan Johor Bahru di mana dia menaiki bas awam untuk masuk ke Singapura. Dia kemudian ditahan di kaunter imigresen dan diberkas.

Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Encik Chiam adalah kecederaan pada kepala dan ini konsisten dengan nahas jalan raya. Teman wanitanya mengalami lelasan dan luka pada sikunya.

Kesalahan Pua memandu secara berbahaya melebihi had laju membawa hukuman penjara antara dua hingga lapan tahun dan larangan memandu mandatori sekurang-kurangnya 10 tahun.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan