Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel lebih 13 tahun; tikam pegawai jarak selamat NParks dalam serangan 'tidak berhati perut'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang mengelar dan menikam seorang pegawai penguatkuasa jarak selamat dihukum penjara 13 tahun dan empat bulan pada Jumaat (18 Mac). 

Ketika kejadian itu, Ahirrudin Al-Had Haji Arifin sedang memetik daun pandan. Dia menyerang seorang pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) di Taman Sungei Serangoon pada 4 Mei 2020 selepas diberitahu supaya memakai pelitup dan tidak boleh mengambil daun pandan di sana. 

Ibu jari mangsa yang berusia 38 tahun itu hampir putus akibat serangan itu. Dia juga cedera parah di kedua-dua belah tangan serta dada, lengan dan kulit kepala dan terpaksa menjalani pembedahan. Mangsa diberikan cuti sakit selama 89 hari. 

Ahirrudin mengaku bersalah pada minggu lalu atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, memiliki senjata berbahaya dan melanggar peraturan COVID-19 dengan tidak memakai pelitup. 

Dia menyerang mangsa dengan menggunakan tongkat berukuran hampir 1 meter dengan bilah sepanjang 20.8 sentimeter pada bahagian hujung yang mempunyai  sarung kayu. Menurut Hakim bilah itu "menjadikan tongkat tersebut seakan sebilah lembing". 

Ahirrudin juga membawa kerambit berukuran 10 sentimeter yang disembunyikan di bawah tapak kasutnya untuk memotong daun pandan. 

"Serangan dilakukan tertuduh tidak masuk akal, tidak berhati perut dan tidak boleh diterima," kata Hakim Tan Siong Thye sewaktu menyampaikan penghakimannya. 

Serangan itu "sungguh kejam dan tanpa provokasi", dan satu "respons yang tidak munasabah" terhadap mangsa yang hanya menjalankan tugasnya, kata hakim lagi. 

Beliau juga mengambil pertimbangan  perhatian orang ramai terhadap kes tersebut. Serangan itu berlaku semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" Singapura apabila tugas pegawai penguatkuasa jarak selamat penting bagi membendung penularan COVID-19, katanya. 

"Pegawai penguatkuasa barisan hadapan terdedah kepada risiko penderaan dan tindakan kasar, namun mereka tetap menjalankan tugas menguatkuasakan  langkah-langkah jarak selamat yang melindungi masyarakat," kata Hakim Tan. 

Beliau juga berkata hukuman yang dikenakan penting untuk memastikan  pekerja perkhidmatan awam diberi perlindungan mencukupi dari segi undang-undang semasa menjalankan tugas mereka. 

Hakim Tan menujukan pertanyaan sebab mengapa Ahirrudin mempunyai pelbagai senjata dengannya dan berkata: "Saya curiga mengapa tertuduh bersenjata pada hari itu. Jika tertuduh hanya ingin memotong daun pandan, dia hanya memerlukan sebilah pisau. Kenapa perlu membawa banyak senjata yang berbahaya untuk perlindungannya apabila tujuan utamanya adalah untuk memotong daun pandan?" 

Hakim juga memetik laporan perubatan yang menyatakan bahawa tikaman kepada bahagian dadah mangsa boleh meragut nyawa sekiranya bilah itu terkena jantungnya. Kecederaan di tangan mangsa juga boleh mengancam nyawanya dan menyebabkan perdarahan di bahagian otak jika tidak menerima bantuan perubatan secepat mungkin. "Sangat bertuah" perkara sedemikian tidak terjadi, menurut Hakim Tan lagi. 

Beliau juga menarik perhatian komen Dr Kang Yong Chiang daripada Hospital Besar Singapura (SGH) yang kedalaman luka mangsa di bahagian tangan kiri mangsa selalunya disebabkan oleh "peralatan industri seperti gergaji rantai elektrik" dan "tahap pengganasan yang tinggi" mengakibatkan luka tersebut. 

Kecederaan tersebut membawa kesan kepada mangsa sepanjang hayatnya, menurut hakim. Walaupun sudah melalui pemulihan selama beberapa bulan, mangsa masih mengalami kelemahan di tangan kiri dan jari jemarinya, menyebabkan kesusahan dalam kehidupan seharian mangsa. Beliau juga masih mengalami gangguan psikologi dan berasa resah setiap kali beliau melihat pisau, meski di dalam rumah sendiri. 

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selima 12 hingga 15 tahun dan menekankan perhatian orang ramai merupakan salah satu pertimbangan utama sewaktu hukuman dijatuhkan, kerana tindakan Ahirrudin "menjejas" keselamatan dan keyakinan para pegawai jarak selamat. 

Semasa rayuan, peguam pembela Ahirrudin berkata bahawa tertuduh amat kesali perbuatannya dan telah menyerang mangsa secara terburu-buru, tanpa sebarang niat jahat. Peguam tersebut mengusulkan hukuman penjara antara lapan hingga 10 tahun. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan