Lelaki dijel kerana ludah ke pegawai penjara di mahkamah
Seorang lelaki, yang sebelum ini dipenjara kerana meludah seorang pegawai polis, menerima satu lagi hukuman penjara pada Selasa (12 Nov) atas kesalahan yang sama. Kali ini, dia meludah pula seorang pegawai penjara di Mahkamah Negara.
(Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki, yang sebelum ini dipenjara kerana meludah seorang pegawai polis, menerima satu lagi hukuman penjara pada Selasa (12 Nov) atas kesalahan yang sama. Kali ini, dia meludah pula seorang pegawai penjara di Mahkamah Negara.
Moo Chee Kie, 48 tahun, dijatuhi hukum penjara sembilan bulan dan hukuman tambahan selama 43 hari atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam serta gagal memberikan contoh darah bagi satu ujian.
Mahkamah diberitahu Moo diberkas di Redhill Lane pada 22 September lalu kerana disyaki menyalah guna ubat sedut (inhalant).
Oleh kerana dia dilihat mempunyai beberapa kesan koyak pada bahagian dahinya, Moo dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) di mana seorang pegawai polis memintanya untuk memberikan contoh darah bagi satu ujian makmal.
Moo dibawa ke Mahkamah 23 di Mahkamah Negara, Chinatown, dua hari selepas penangkapannya untuk didakwa atas keengganan memberikan contoh darah.
Semasa perbicaraan, dia diperintah menjalani tahanan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi penilaian psikiatrik dan diletakkan dalam ruang menunggu sementara menanti perbicaraan selesai dijalankan.
Ketika di ruang menunggu itu, Moo mula bermain dengan garinya sehingga menyebabkan bunyi besi bising yang mengganggu prosiding mahkamah, kata Timbalan Pendakwa Raya Foo Shi Hao.
Seorang pegawai penjara dari Jabatan Penjara Singapura memasuki ruang menunggu tersebut dan meminta Moo supaya senyap.
Pada awalnya, Moo menurut perintah tetapi dia kemudian menyambung kerenahnya berbuat bising dengan garinya itu.
Pegawai berkenaan kembali semula ke ruang itu dan berdiri di hadapan Moo, dengan tujuan untuk menyuruhnya agar berhenti bermain dengan garinya.
Seorang pegawai polis pembantu juga meminta Moo supaya berhenti bermain dengan garinya tetapi dia menjerit: "Saya tidak mahu."
Dia kemudian meludah muka pegawai penjara berkenaan.
Moo dikenakan hukuman penjara 20 minggu atas kesalahan meludah seorang pegawai polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.