Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel kerana langgar pagar jarak selamat, tumbuk pegawai keselamatan di Jurong Point

Apabila diberitahu oleh seorang pegawai keselamatan untuk memasuki Jurong Point menerusi tempat masuk berlainan disebabkan langkah-langkah COVID-19, seorang lelaki menembusi pagar jarak selamat di pusat beli-belah itu dan membuat kecoh di dalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel kerana langgar pagar jarak selamat, tumbuk pegawai keselamatan di Jurong Point
Diterbitkan : 20 Jan 2021 07:04PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 07:08PM

SINGAPURA: Apabila diberitahu oleh seorang pegawai keselamatan untuk memasuki Jurong Point menerusi tempat masuk berlainan disebabkan langkah-langkah COVID-19, seorang lelaki menembusi pagar jarak selamat di pusat beli-belah itu dan membuat kecoh di dalam.

Apabila pegawai keselamatan itu mencuba untuk membawanya keluar, lelaki itu bergelut dan menumbuknya di bahagian muka.

Parma Nadam R Ammayappan, 68 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda S$1,500 pada Rabu (20 Jan) atas jenayahnya.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan melarikan diri, dengan tuduhan keempat dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Parma berada di Jurong Point pada sekitar pukul 1.00 petang pada 24 Sep tahun lalu. Dia memberitahu seorang pegawai keselamatan dan penyelianya bahawa dia ingin ke tingkat tiga pusat beli-belah itu.

Penyelia keselamatan itu memberitahu Parma untuk memasuki pusat beli-belah itu dari tempat masuk berlainan kerana tempat masuk di mana mereka berada itu sudah dihalang disebabkan oleh langkah-langkah jarak selamat.

Bagaimanapun, Parma tidak menghiraukan perkara itu dan menembusi pagar jarak selamat itu, dengan dua pegawai mengikutinya dan memberi amaran kepadanya supaya tidak lagi membuat kacau.

Parma kemudian ke tingkat tiga sebelum memasuki sebuah restoran di besmen, di mana dia memekik dan meminta pelanggan restoran itu untuk memberinya makanan dan wang.

Seorang pekerja restoran meminta bantuan daripada kakitangan keselamatan, dan mereka mencuba bercakap dengan Parma dan membawanya ke Pusat Kawalan Kebakaran. Penyelia keselamatan itu memegang lengan Parma untuk membawanya ke sana, tetapi Parma bergelut dan menumbuk pipinya.

Parma akhirnya ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi lesap selama 87 hari. Dia tidak diwakili peguam di mahkamah dan berkata bahawa dia tinggal seorang diri dan "murung serta tertindas", tanpa sesiapa pun yang menjaganya.

Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan