Lelaki dijel kerana bersubahat curi wayar dari bekas kampus JJC, TPJC
Di tengah-tengah keheningan malam pada Januari tahun lalu, tiga lelaki memasuki kampus Maktab Rendah Jurong (JJC) yang kosong dan mencuri wayar tembaga bernilai S$20,000.
(Gambar: TODAY, Google Street View)
SINGAPURA: Di tengah-tengah keheningan malam pada Januari tahun lalu, tiga lelaki memasuki kampus Maktab Rendah Jurong (JJC) yang kosong dan mencuri wayar tembaga bernilai S$20,000.
Apabila tempoh "pemutus rantaian jangkitan" COVID-19 dilaksanakan beberapa bulan kemudian pada April, ketiga-tiga lelaki itu memasuki Maktab Rendah Tampines (TPJC) dan mencuri kabel elektrik dari sekolah itu, menyebabkan sekolah itu perlu menanggung kerja-kerja pembaikan bejumlah S$840,000.
1,767 kilogram kabel dari kedua-dua kampus itu dijual pada harga sekitar S$7,500 dan hasilnya dikongsi antara ketiga-tiga lelaki itu.
Mereka berjaya diberkas pada 23 April 2020 apabila salah seorang daripada lelaki itu dikenal pasti menerusi analisis DNA dari air liurnya yang tertinggal pada satu botol di JJC.
Salah seorang daripada mereka, warga Bangladesh berusia 34 tahun, Jan Shak Mohabbat, dihukum penjara dua tahun dan 10 bulan pada Selasa (21 Sep).
Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan pecah masuk untuk mencuri wayar tembaga dan kabel elektrik di kedua-dua kampus JC itu, bersama dengan tertuduh bersama, Miah Shobus dan Om Shakti Tiwari.
Lagi lapan tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.
PECAH MASUK KE JJC, TPJC SEBANYAK 4 KALI
Mahkamah diberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki itu merancang untuk mencuri wayar tembaga dari kampus JJC yang kosong dan menjualnya di kedai-kedai kitar semula.
Pada suatu malam di pertengahan Januari tahun lalu, Tiwari membawa Miah dan Jan ke JJC dengan menaiki sebuah kereta sewa. Jan dan Miah memanjat pagar kampus sementara Tiwari menunggu mereka di dalam kereta.
Jan dan Miah menggunakan pemotong wayar besar untuk memotong wayar tembaga dari bilik suis utama di sekolah itu sebelum memecahkan kunci dan memunggah wayar itu ke dalam kereta Tiwari.
Mereka datang sekali lagi ke JJC pada 20 Januari untuk mencuri lebih banyak wayar tembaga. Tiwari menjual kesemua wayar itu di kedai-kedai kitar semula dan membahagikan hasilnya dengan dua lelaki itu, namun dokumen mahkamah tidak menyatakan berapa banyak yang diperolehi daripada hasil penjualan itu.
Sekitar dua bulan selepas itu, ketiga-tiga lelaki itu memutuskan untuk memecah masuk kampus TPJC yang kosong dan mencuri kabel elektrik.
Pada 8 April 2020, ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan, Tiwari memandu mereka ke TPJC dengan menaiki sebuah van sewa.
Jan dan Miah sebelum itu sudah memotong lubang pada pagar sekolah sebagai persediaan sementara Tiwari menunggu dalam van.
Kedua-dua lelaki itu memotong kabel elektrik dari sekitar pekarangan TPJC termasuk kabel dari siling dan bilik unit pengudaraan.
Kesemua kabel itu dipunggah ke dalam van dan pada hari yang sama, Tiwari menjual 994 kilogram kabel elektrik di sebuah kedai kitar semula, memperoleh hasil S$3,976. Dia memberi sebahagian hasil itu kepada Miah dan Jan.
Pada pukul 3.00 pagi pada 17 April 2020, ketiga-tiga lelaki itu kembali ke TPJC untuk mencuri lebih banyak kabel elektrik.
Tiwari kemudian menjual 773 kabel elektrik kepada sebuah kedai kitar semula pada harga S$3,478 dan memberi sebahagian hasil itu kepada Miah dan Jan.
KOS PEMBAIKAN TPJC MENELAN BELANJA S$840,000, JJC KERUGIAN S$20,000
Keseluruhan kos untuk menggantikan kabel-kabel elektrik yang dicuri di TPJC dan kos lain termasuk kerja-kerja pembaikan terhadap siling dan membekalkan alat suis baru menelan belanja S$840,000.
Kos pembaikan yang ditanggung JJC tidak diumumkan, namun wayar sepanjang 1000 meter yang bernilai S$20,000 dicuri dari kampus itu, menurut pihak pendakwa.
Ketiga-tiga lelaki diberkas pada 23 April 2020 setelah polis mengenal pasti Jan menerusi analisa DNA dari air liur yang tertinggal pada sebuah botol di JJC.
Polis juga menjejaki Miah melalui imej dari kamera polis di HDB. Saksi juga melihat kereta Tiwari berada di luar kampus.
Jan, Tiwari dan Miah dijadual dibicarakan pada Isnin (20 Sep) namun Jan memutuskan untuk mengaku bersalah. Persidangan sebelum perbicaraan dijadualkan bagi kes Miah dan Tiwari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.